Mahaizura Abd Malik
mahaizura@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Masa tiga tahun setengah dan yuran belajar yang sudah dihabiskan selama ini sia-sia saja.

“Sampai sekarang saya sukar mendapat pekerjaan mahupun menyambung pengajian kerana sijil tak laku,” kata Juhana Jemaat @Jamil, 32.

Wanita itu menerima nasib malang apabila diploma penyiarannya dari sebuah kolej di ibu negara tidak mendapat perakuan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Juhana berkata, dia hanya mengetahui diploma diterimanya tidak laku selepas terbaca senarai pengajian dari beberapa institusi yang tidak diperakui MQA dalam akhbar.

“Saya mengambil jurusan penyiaran di sebuah kolej dan hanya diberikan skrol diploma tanpa sebarang penganjuran majlis konvokesyen pada 2010.

“Rupanya baru saya tahu jurusan di kolej ini tidak mendapat piawaian MQA selepas terbaca dalam sebuah akhbar,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, dia membuat tuntutan ganti rugi terhadap syarikat yang menjalankan operasi kolej itu menerusi Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) Johor pada 2012.

“Pihak TTPM sudah mengeluarkan perintah mengarahkan pihak syarikat itu membayar tuntutan yuran pengajian saya berjumlah RM18,800 daripada RM36,000 jumlah keseluruhan pengajian yang dipinjam dari Majlis Amanah Rakyat (MARA).

“Bagaimanapun, kes ini masih tergantung sampai sekarang kerana tidak mendapat kerjasama daripada pihak syarikat yang tidak mahu menandatangani surat tuntutan itu.

“Malah, saya dimaklumkan rakan kolej sama menerima nasib sama dan mereka juga membuat tuntutan di negeri masing-masing,” katanya yang membuat aduan di Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Katanya, sepanjang tempoh tujuh tahun, dia kerap berulang dari kediamannya di Johor Bahru, Johor ke ibu negara kerana mahu mencari pemilik atau wakil syarikat untuk menyelesaikan kes berkenaan.

“Saya terpaksa berulang dua kali sebulan menaiki bas ke Kuala Lumpur dengan harapan dapat bertemu mereka.

“Malangnya, usaha saya menjadi sukar dan sia-sia kerana mereka kerap berpindah lokasi pejabat,” katanya.

Juhana berkata, buat masa ini dia terpaksa mencari rezeki dengan memandu Grab secara separuh masa sambil menjaga ibunya yang lumpuh.

“Saya difahamkan syarikat sama masih terus mengambil pelajar baharu walaupun kolej berkenaan sudah tutup.

“Kalau boleh saya mahu menyambung pengajian jadi saya berharap pihak syarikat tampil menyelesaikan masalah ini secepat mungkin,” katanya.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, tahun lalu pihaknya menerima 20 aduan berkaitan penipuan sama daripada pengurusan kolej berbeza.

“Dalam kes ini, kita akan membantu Juhana menjejaki syarikat itu untuk membayar ganti rugi yang diperintahkan TTPM.

“Sekiranya tidak dapat penyelesaian, kita akan bawa isu ini kepada kementerian pendidikan untuk mengambil tindakan kepada syarikat yang menjalankan operasi kolej ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Februari 2019 @ 8:11 AM