AL-SULTAN Abdullah menerima ciuman daripada Tunku Azizah. -Foto BERNAMA

Kuantan: Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sering mengenepikan protokol setiap kali mencemar duli turun padang menjenguk kehidupan rakyat.

Setiausaha Kehormat Yayasan Fertilili Tunku Azizah (TAFF), Datuk Hamimah Abdul Karim, 69, berkata, personaliti baginda itu dihormati, malah sentiasa menjadi bualan masyarakat di negeri ini.

Beliau yang juga kenalan rapat dan mengenali baginda lebih 20 tahun berkata, adalah menjadi kelaziman baginda menyantuni rakyat yang susah ditimpa musibah termasuk mengajar banduan penjara kemahiran memasak dan menenun.

“Baginda tidak pernah lelah untuk bersama masyarakat lebih-lebih lagi sewaktu mereka ditimpa kesusahan...setiap kali mendengar berita sedih rakyat tidak kira di ceruk desa sekali pun, baginda bersama Sultan Pahang (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Shah) pasti segera menziarah rakyat.


TUNKU Azizah memeluk Tengku Hassanal Ibrahim selepas istiadat.

“Baginda berdua tidak peduli sama ada meredah air banjir, memanjat trak tentera dan menaiki bot untuk bertemu sendiri dengan mangsa musibah bagi menghulurkan bantuan segera dan bertanya khabar.

“Tidak cukup sekadar itu, baginda turut menyinsing lengan memasak di pusat pemindahan banjir demi memastikan mangsa terbabit tidak kelaparan dan mendapat makanan yang sempurna meskipun ketika bencana,” katanya ditemui semalam.

Menurut beliau, baginda mula memasak di pusat pemindahan banjir pada 2013 ketika turut padang bersama Al-Sultan Abdullah melawat mangsa banjir dan cukup sedih melihat cara penyediaan makanan kepada mangsa banjir menyebabkan baginda memohon perkenan Al-Sultan Abdullah untuk memasak.

Hamimah berkata, Tunku Azizah cukup pakar dalam bidang seni jahitan, mengait, jahitan silang (cross stitch) dan sulaman.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 January 2019 @ 8:28 AM