LAPORAN portal berita Harian Metro, hari ini mengenai kebakaran rumah teres di Taman Desa Vista, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang.
Noor Atiqah Sulaiman
cnews@nstp.com.my


DUA kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) maut dalam kebakaran sebuah rumah rumah teres di Taman Desa Vista, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, tengah hari ini.

Ketua Balai Bomba Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Khairuddin Jamaludin, berkata pihaknya menerima panggilan pada 1.14 tengah hari dan tiba 20 minit kemudian.

Beliau berkata, mangsa iaitu wanita berumur 28 tahun ketika itu berada di atas katil bilik utama kediaman berkenaan manakala mangsa lelaki, 30, yang berada di dalam bilik air sudah tidak sedarkan diri ketika anggota bomba tiba di rumah terbabit.

“Ketika kejadian, kedua-dua mangsa sudah tidak bernafas dan tiada respon diberikan dengan mangsa wanita melecur di bahagian muka.

“Kedua-dua mereka disahkan meninggal oleh pegawai dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) beberapa minit kemudian.

“Kebakaran tidak melibatkan keseluruhan rumah, hanya terjadi di kawasan bilik utama serta terjejas teruk pada tilam. Punca kebakaran masih dalam siasatan sama ada ia angkara khianat atau sebaliknya,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Berita berkaitan

'Wanita maut, lelaki cedera dalam kebakaran'

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 January 2019 @ 5:37 PM