TELEFON bimbit klon pebagai jenama yang dijual secara berleluasa di Jalan Pasar, Jalan Chow Kit dan Bukit Bintang.
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Harga serendah RM150 untuk setiap telefon bimbit baharu berjenama sedangkan harga sebenar mencecah ribuan ringgit.

Malah, harga itu dikatakan sangat murah kerana pengedar tidak perlu membayar cukai kepada kerajaan atau istilah lain underwater.

Itu taktik sebahagian besar peniaga telefon bimbit klon atau palsu di beberapa premis dan kaki lima di kawasan tumpuan di bandar raya ini, sekali gus membuktikan penjualan gajet berkenaan semakin berleluasa tanpa kawalan.

Harga yang ditawarkan pula 70 peratus lebih rendah daripada harga pasaran dengan kadar hampir 99 peratus menyerupai telefon bimbit tulen menyebabkan orang ramai mudah tertipu seterusnya kerugian kerana hakikatnya telefon ini tidak tahan lama.

Harian Metro yang melakukan tinjauan di sekitar Jalan Pudu, Chow Kit dan Bukit Bintang di sini, mendapati penjualan telefon bimbit klon atau palsu oleh peniaga yang kebanyakan warga asing begitu berleluasa dengan mendakwa gajet berkenaan adalah tulen.

Kebanyakan peniaga berkenaan menjual telefon bimbit klon jenama terkenal itu mendakwa gajet berkenaan adalah tulen serta ada jaminan daripada syarikat pengeluar.

Semua telefon bimbit klon itu dipercayai diseludup dari China dan ia boleh dibeli secara borong di sebuah gedung menjual pelbagai jenis barangan di Jalan Chow Kit.

Telefon sama juga boleh dibeli dengan mudah melalui dalam talian yang kemudian akan dipos kepada pelanggan.


PENIAGA menawarkan telefon bimbit klon berjenama mahal.

Seorang peniaga telefon bimbit yang dikenali sebagai Hamdan, 34, berkata, telefon bimbit klon atau palsu itu diambil di sebuah pusat pemborong di ibu negara sebelum dijual kepada orang ramai.

Beliau berkata, kebiasaannya dia hanya menjual kepada pelanggan tertentu terutama yang tidak mempunyai pengetahuan berkaitan telefon bimbit dan juga warga asing.

“Saya jual telefon bimbit ini kena tengok orang juga kalau yang datang mempunyai pengetahuan mengenai gajet adalah lebih baik jangan menjualnya atau berterus terang saja.

“Saya jual telefon bimbit ini pada harga RM150 namun harga pasaran boleh mencecah RM1,000 dan produk berkenaan mendapat permintaan tinggi terutama kepada mereka yang mahukan gajet murah,” katanya ketika ditemui di Jalan Pudu di sini.

Selain itu, katanya, produk berkenaan menyerupai telefon bimbit tulen namun jika diteliti perisian dan fungsi yang ada mempunyai perbezaan ketara terutama membabitkan kamera.

“Sekali tengok, orang ramai bukannya mengetahui tulen atau sebaliknya dan ada antara mereka pun tidak mempunyai pengetahuan mengenai gajet sekali gus mudah untuk menipu pelanggan,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi peniaga telefon bimbit dikenali sebagai Rahman, 30, berkata, dia tidak akan menyimpan stok telefon bimbit berkenaan dan akan mengambilnya di stor penyimpanan berhampiran premisnya bagi mengelak diserbu pihak berkuasa.

“Jika pelanggan bersetuju membeli telefon bimbit klon itu, baharulah saya akan pergi ke stor yang terletak berhampiran untuk mengambilnya.

“Ada pelbagai jenis telefon klon atau palsu dijual, malah yang tiada di negara ini atau belum dilancarkan lagi turut boleh ditempah.

“Telefon bimbit ini kebanyakan dari China dan ada beberapa pengedar yang memasarkan produk berkenaan kepada peniaga telefon bimbit sejak lima tahun lalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 January 2019 @ 9:55 AM