BAND legenda daripada Indonesia, Dewa 19.
Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


DI Indonesia, Dewa 19 adalah band legenda.

Selain menerima banyak penghargaan di Anugerah Muzik Indonesia (AMI) dan Anugerah BASF, mereka juga pernah diiktiraf sebagai band paling kaya di Indonesia dengan pendapatan lebih RM4 juta setahun dan disenaraikan antara 25 Artis Indonesia Terbesar Sepanjang Masa pada 2008 oleh majalah Rolling Stone.

Nama Dewa 19 tidak hanya mekar di sana, tetapi terus dikenali di Malaysia.

Walaupun album pertama mereka dilahirkan pada 1992, namun Dewa 19 hanya hadir ke Malaysia pada 2001 selepas muncul dengan album kelima berjudul Bintang Lima.


KONSERT Reunuion Dewa 19 Live In Malaysia dibarisi (dari kiri) Ari Lasso, Ahmad Dhani, Yuke, Once, Tyo, Andra dan Agung.

Persembahan sulung mereka di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur pada tahun yang sama terus diingat sebagai persembahan terbaik Dewa 19 di negara ini.

Sejak itu, nama Dewa 19 terus meresap dalam jiwa peminat mereka di sini.

Namun pada 2011 Dewa 19 yang ketika itu dianggotai Ahmad Dhani (keyboard, penyanyi), Andra Ramadhan (gitar), Once Mekel (penyanyi), Yuke Sampurna (bass) dan Agung Yudha (dram) dibubarkan berikutan pengunduran Once.


ONCE (kiri) dan Dhani ketika sesi latihan sempena konsert

Bagaimanapun, dua tahun kemudian band ini kembali dengan konsert reunion bersama tiga anggota asalnya iaitu Ari Lasso (penyanyi), Tyo Nugros (dram), Wawan Juniarso (dram) dan Erwin Prasetya (bass).

Apa yang menarik, mereka juga akan ke negara ini menerusi Konsert Dewa 19 Reunion Live In Malaysia di Stadium Malawati, Shah Alam, Sabtu ini.

Kali ini, Dewa 19 turut disertai Ari Lasso dan Tyo.

Dhani dalam temu bual bersama RAP baru-baru ini berkata, Malaysia tidak hanya dianggap sebagai negara jiran, tetapi lebih selesa digelar rumah kedua buat band yang ditubuhkan di Surabaya pada 1986 itu.


ANDRA antara anggota asal Dewa 19 sejak 1986.

Walaupun mula diterima di Malaysia hanya selepas album kelima dipasarkan, mereka berasa lebih dihargai di Malaysia berbanding di tanah air sendiri.

“Jujur saya beritahu, saya rasa lebih dihargai di Malaysia berbanding di Indonesia,” katanya.

Menurut Dhani, peminat di sini lebih menghargai karya Dewa 19 berbanding segelintir peminat di Indonesia yang lebih suka kepada isu kontroversi membabitkan kumpulan itu.


TYO Nugros mula menyertai Dewa 19 menerusi album kelima, Bintang Lima.

“Kami berterima kasih kepada peminat Malaysia yang menerima setiap karya yang kami bawakan. Mungkin kerana penerimaan masyarakat Malaysia terhadap karya Dewa 19 sejak awal penubuhan hingga sekarang membuatkan kami rasa sangat dihargai,” katanya.

Disebabkan itu jugalah, Dewa 19 bersetuju untuk hadir ke Malaysia bagi menjayakan konsert berkenaan.

“Tentunya, bukan saya saja, malah seluruh anggota Dewa 19 sangat teruja untuk hadir ke Malaysia dan menghiburkan peminat kami,” katanya.


AGUNG YUDHA

Kini, Dewa 19 sedang giat menjalani latihan dan menariknya, sesi latihan itu dikongsikan menerusi rakaman video di YouTube.

“Ini adalah kali pertama sesuatu band berkongsi sesi latihan di YouTube. Di situ juga, kami kongsikan lagu yang akan dipersembahkan di konsert itu nanti,” katanya.

Ditanya mengenai pemilihan lagu, Dhani mengakui ia satu proses yang sangat mencabar.


ARI LASSO

“Kami ada kira-kira 50 lagu popular dan sukar untuk kami memilih lagu mana yang sesuai. Apa yang pasti, sepanjang konsert berdurasi tiga jam itu, peminat akan dihiburkan dengan 30 lagu popular kami sepanjang zaman,” katanya.

Dhani berkata, mereka juga akan mengekalkan susunan muzik yang sama sebagaimana lagu itu di dalam album.

“Melodi lagu selalunya akan mengimbau kenangan. Jika diubah, tentunya perasaan itu akan berbeza. Jadi, kami tidak akan mengubah susunan muzik kerana nak pastikan setiap lagu yang dipersembahkan akan mengimbau kenangan buat semua peminat yang mendengarnya,” katanya.


YUKE SAMPURNA

MUNGKIN KONSERT TERAKHIR, TAK ADA LAGI LAGU ATAU ALBUM BARU

Selepas lebih 30 tahun ‘menjajah’ hati peminat, konsert ini berkemungkinan akan menjadi konsert terakhir Dewa 19.

“Ini mungkin menjadi konsert terakhir Dewa 19. Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikannya. Saya tidak janjikan bahawa ia yang terakhir, tetapi berkemungkinan ini yang terakhir. Jadi, sama-sama kita nantikan,” katanya.

Usia lebih tiga dekad juga meletakkan Dewa 19 sebagai band yang punya kelas tersendiri dan seperti diakui oleh Dhani, dia selesa menggelarkan Dewa 19 sebagai ‘Band Panggilan’.

“Kami tak ada keluarkan single baru atau pun album baru. Jadi Dewa 19 kini lebih selesa digelar sebagai ‘Band Panggilan’.

“Ertinya, jika diundang untuk membuat persembahan, kami akan muncul,” katanya.

Selain Dewa 19, peminat juga akan dihiburkan dengan lima lagu oleh band jemputan, Andra and the Backbone yang juga diketuai pemain gitar Dewa 19, Andra.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 January 2019 @ 8:06 AM