DAYANG Nurjayha meratapi mayat anaknya. FOTO Junaidi Ladjana
Junaidi Ladjana
junaidi_ladjana@nstp.com.my


“NAK (Aliudin) bangunlah, ada nasi lemak bapa belikan,” demikian luahan Dayang Nurjayha Bayo, 33, ibu kepada Datu Aliudin Datu Aidar, 10, yang ditemui lemas ketika mandi di sungai Kampung Cenderamata 2, Likas, di Kota Kinabalu, hari ini.

Ketika pasukan bomba menemui mayat Aliudin, ibunya meluru lalu memeluk anaknya dan meminta Aliudin bangun sambil mengusap kepala anaknya.

Suasana pilu di lokasi kejadian apabila ibu mangsa berkali-kali meminta Aliudin bangun untuk sarapan bersama-sama sambil meraung.

Suaminya yang juga bapa tiri mangsa, Dzul Edzuandy Ali Asbah, 37, yang turut berada di lokasi kejadian menenangkan Dayang Nurjayha dan membawanya ke rumah berhampiran.

Dalam kejadian kira-kira 11 pagi itu, seorang lagi rakan mangsa iaitu Mohd Asraf Abdullah, 11, turut ditemui lemas.

Difahamkan, kedua-dua mangsa bermain dengan menjadikan sebuah peti ais lama sebagai perahu sebelum kedua-dua mangsa terjatuh dan hilang di dalam air.

Menurut Dzul Edzuandy, sebelum kejadian anak tirinya meminta izin keluar untuk pergi ke kedai runcit bagi membeli makanan ringan.

“Ketika itu, saya hendak keluar ke gerai menjual makanan untuk membeli nasi lemak untuk sarapan kami sekeluarga dan dia meminta izin pergi ke kedai runcit membeli makanan ringan.

“Saya kemudian memberi wang dan meminta dia supaya segera kembali untuk sarapan bersama,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya, sebaik tiba di rumah, isteri memaklumkan anaknya hilang ketika bermain di sungai.

“Saya terus bergegas bersama-sama jiran ke lokasi kejadian untuk mencari Aliudin.

“Dia (anak) jarang ke sungai... pernah juga dia pergi tapi untuk bermain layang-layang di kawasan lapang dekat sungai,” katanya.

Dalam pada itu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan jam 12.15 tengah hari, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas dan Kota Kinabalu dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, operasi mencari dan menyelamat (SAR) terus dilakukan dan pada jam 2.51 petang, mangsa Datu Aliudin berjaya ditemui berdekatan lokasi mangsa lemas.

“Operasi SAR kemudian diteruskan untuk mencari seorang lagi mangsa dan pada jam 4.40 petang mangsa terakhir berjaya ditemui berhampiran lokasi yang sama,” katanya.

Operasi SAR membabitkan seramai 22 anggota dan pegawai bomba, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dan Pasukan Polis Marin (PPM) Kota Kinabalu.

Sementara itu, Timbalan Menteri Dalan Negeri yang juga Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman ditemui di lokasi berkata, kedua-dua mangsa sudah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE 1) untuk bedah siasat.

“Saya ucapkan terima kasih kepada pasukan penyelamatan terdiri daripada JBPM dan polis yang bertungkus lumus mencari dua kanak-kanak ini.

“Alhamdulillah dalam tempoh empat jam selepas kejadian itu, pasukan penyelamat berjaya menemui mayat mangsa,” katanya.

Berita berkaitan

[UPDATE] Dua mangsa lemas di Likas ditemui

Dua kanak-kanak dikhuatiri lemas

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 January 2019 @ 7:35 PM