Mohammad Ilham menjual kuih-muih dan nasi lemak untuk membantu ibu. FOTO Mohamad Fahd Rahmat
Mohamad Fahd Rahmat
fahd@hmetro.com.my


SETIAP malam menjual nasi lemak dan kuih-muih sejak berusia 10 tahun, seorang pelajar tingkatan satu tidak malu bermuka tebal demi membela nasib ibunya yang juga ibu tunggal.

Mohammad Ilham Mohd Fazil, 13, berkata, dia sudah terbiasa dengan rutin menyediakan keperluan masakan seawal 3 petang sebelum menjualnya di kaki lima Stesen LRT Setiawangsa, Kuala Lumpur hinggalah kira-kira 9.30 malam setiap hari, termasuk cuti persekolahan.

Katanya, tidak malu berbuat demikian dan berkat pengalaman ditimba itu, dia kini mahir membuat pulut panggang udang dan ondeh-ondeh, selain nasi lemak.

“Saya tidak malu berniaga dan tak kisah kerana sudah terbiasa berniaga sejak Tahun Empat (sekolah rendah),” katanya yang menjawab ringkas dan sering tersenyum ketika ditemui, hari ini.

Bagi ibunya, Rita, 39, yang juga berstatus penduduk tetap berkata, bercerai pada 2014 dan sejak itu mengambil peranan sebagai ibu dan ayah kepada empat anak lelaki yang kini berusia 18, 16, 14, dan 13 tahun.

Menurutnya, membesarkan anak lelaki itu cukup mencabar dan yang sering membantunya adalah anak sulung dan bongsu.

“Ilham masih bersekolah tetapi si abang sulung dan nombor dua sudah keciciran sekolah. Dia berharap sangat dapat mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini dan saya akan berusaha cari jalan hendak menyekolahkannya semula.

“Sebelum ini kerana terlalu tertekan, saya terpaksa menghantar anak pertama dan kedua ke kampung di Medan, Indonesia kerana tak mampu menyara mereka,” katanya.

Katanya, meraih untung kasar kira-kira RM70 hasil jualan pelbagai kuih-muih dan nasi lemak setiap hari.

“Mujur Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) ada membantu memberikan bantuan sewa rumah sebanyak RM350 dan bantuan persekolahan anak RM400 setiap bulan sejak dua tahun lalu.

“Tetapi itulah, saya juga kena berusaha keras menyara hidup kami anak beranak kerana kos hidup di sini tinggi,” katanya.

Rita dan anaknya yang tidak mempunyai telefon bimbit kerana dicuri boleh ditemui di alamat 658 Lorong Keramat 6, Kuala Lumpur.

“Rumah kayu yang kami duduki juga sudah uzur tetapi kami tidak punya pilihan lain,” kata Rita.


Mohammad Ilham bersama ibunya menjual kuih-muih dan nasi lemak. FOTO Mohamad Fahd Rahmat

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 January 2019 @ 11:16 PM