DATUK Dell Akhbar Khan.
Amir Abd Hamid dan Mohd Firdaus Ibrahim
am@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: “Datuk, jangan buat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) macam pasukan polis,” kata Datuk Dell Akhbar Khan yang menceritakan gurauan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah pada beliau yang ketika itu memegang jawatan Setiausaha Agung FAM.

Dell Akhbar yang pernah menjadi Setiausaha Agung FAM selama lima tahun dari 2000 hingga 2005 berkata, Al-Sultan Abdullah sering bergurau sekiranya baginda menggantikan Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah mengendalikan mesyuarat.

“Gurauan baginda membangkitkan suasana harmoni dalam mesyuarat berkenaan. Secara peribadi, baginda juga pernah menyakat (bergurau) saya. Antara yang paling diingati adalah gurauannya iaitu Datuk, jangan buat FAM macam pasukan polis.

“Saya pun boleh jawab pada baginda bahawa sudah terlatih sedemikian sebelum kami tertawa bersama,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, Al-Sultan Abdullah yang dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 dikenali berjiwa rakyat dan mudah didekati.

“Apa saja isu yang mahu disembahkan dengan fakta, baginda akan meluangkan waktu untuk mendengar dan membantu menyelesaikannya.

“Pengalaman saya bersama baginda, tidak pernah sesekali Tuanku tangguh membuat keputusan penting jika diperlukan,” katanya.

Selain seorang yang ramah, Dell Akhbar berkata, Al-Sultan Abdullah sering mendengar pendapat majoriti sebelum membuat sebarang keputusan penting.


AL-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengurniakan Darjah Kebersaran Sultan Ahmad Shah Pahang Yang Amat Mulia peringkat pertama Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (S.S.A.P) kepada Azzuddin di Balairung Seri Istana Abu Bakar pada 19 April 2016.

“Contohnya saya antara individu yang mengutarakan supaya pasukan kelab tidak dibenarkan menyertai Liga Super. Bagi saya ketika itu, pasukan kelab sukar untuk bertahan dalam liga.

“Namun, visi baginda terbukti kini apabila banyak pasukan kelab mewarnai sukan bola sepak negara,” katanya.

Beliau berkata, Al-Sultan Abdullah adalah pemimpin yang sangat bersemangat dan mencintai sukan bola sepak negara.

“Saya rindukan sentuhannya dalam bola sepak tempatan. Beliau punya pengalaman luas. Walaupun tidak banyak kejayaan bagi pasukan negara ketika itu, namun baginda adalah pimpinan bertanggungjawab menukar bola sepak negara daripada peringkat amatur menjadi profesional,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persekutuan Bolasepak ASEAN, Leftenan Jeneral (B) Datuk Seri Azzuddin Ahmad berkata, baginda sangat mencintai sukan khususnya bola sepak.

“Saya bekerja dengan Tuanku daripada sudut bola sepak saja. Baginda memang minat dengan sukan khususnya bola sepak yang juga sukan nombor satu diminati di negara ini.

“Baginda mempunyai jiwa pemain dan sebab itu sangat mengutamakan kebajikan pemain. Tuanku juga berpegang kepada prinsip.

“Prinsip yang dimaksudkan di sini daripada segi peraturan bola sepak yang termaktub dalam perlembagaan dan peraturan pertandingan.

“Daya usaha Tuanku juga dengan cara yang tersendiri dapat menarik penganjur bagi memastikan bola sepak negara terus meriah khususnya Liga Bolasepak Malaysia,” katanya.

Azzuddin berkata, dia selalu berurusan dengan Al-Sultan Abdullah ketika baginda menjadi Timbalan Presiden FAM yang pada waktu itu ayahanda baginda, Sultan Ahmad Shah menyandang jawatan presiden badan induk bola sepak negara.

Menurutnya, secara peribadi beliau melihat baginda seorang yang bersifat merendah diri tetapi pada masa sama amat berpegang teguh kepada prinsip.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 January 2019 @ 10:02 AM