LAGU Ddu-Du Ddu-Du melonjakkan nama BLACKPINK.
Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


MESKIPUN Wonder Girls, Girls’ Generation dan 2NE1 kian menyepi, kehebatan mereka sukar digugat mana-mana kumpulan wanita Korea Selatan lain.

Legasi itu disambung kumpulan BLACKPINK yang bernaung di bawah agensi YG Entertainment sejak beberapa tahun lalu. Diperkenalkan pada 2016, kumpulan itu menjadi kegilaan seantero dunia.

Dianggotai Jisoo, Jennie, Lisa, dan Rose, kredibiliti BLACKPINK pernah menjadi perdebatan hangat dalam kalangan peminat pada awal kemunculan. Ramai meragui kemampuan kumpulan itu mampu bersinar meski diasuh syarikat tersohor YG Entertainment.

Bagaimanapun, kerja keras empat penyanyi wanita itu membuahkan hasil apabila BLACKPINK kini sangat berpengaruh. Biarpun baru setahun jagung, pencapaian karier mereka layak diberi pujian.

Ketepikan soal anugerah, barangkali masih terlalu awal untuk kumpulan itu meraih trofi keramat. Apa yang lebih penting adalah lagu mereka mendapat sambutan luar biasa sekali gus menjadi penanda aras kualiti bakat yang dimiliki.

Bertuahnya kumpulan ini apabila setiap lagu yang dihasilkan akan berada di carta teratas pilihan peminat. Dua lagu terawal mereka iaitu Whistle dan Boombayah meraih populariti dalam tempoh singat sekali gus mencatat rekod manis tersendiri.

Kemuncak kerjaya mereka apabila lagu hit Ddu-Du Ddu-Du menguasai carta muzik dunia. Saat ini, tiada lagi keraguan BLACKPINK antara selebriti terbaik K-Pop.

Terbaru, video muzik lagu terbabit mencatat sejarah apabila menjadi lagu berkumpulan paling tinggi tontonan di YouTube. Dengan lebih 623 juta tontonan, ia sekali gus mengetepikan rekod kumpulan BTS dengan jurang lebih sejuta.

Hal itu disahkan sendiri jurucakap pihak YouTube baru-baru ini sejurus angka tontonan mengatasi rekod BTS.

“Dengan tontonan lebih 623 juta, lagu Ddu-Du Ddu-Du nyanyian BLACKPINK adalah video berkumpulan K-Pop paling tinggi tontonan,” katanya pada Selasa lalu.

Sejak dilancarkan pada 15 Jun 2018, secara purata video muzik berkenaan ditonton lebih 2.5 juta kali setiap hari. Namun, sejak Januari lalu, putara tontonannya adalah dua juta sehari menurut YouTube.

Lebih menarik, apabila dilancarkan lagu terbabit menduduki tangga ke-55 dalam carta Hot 100 Billboard. Secara tidak langsung, ia menjadi lagu K-Pop kumpulan wanita berjaya lolos dalam carta terbabit selepas kali terakhir lagu Nobody versi bahasa Inggeris oleh Wonder Girls pada 2008.

Bertitik tolak daripada situ, keyakinan peminat terhadap BLACKPINK semakin kukuh.

Percaturan yang dibuat YG juga wajar dipuji apabila meletakkan nilai eksklusif yang sangat tinggi terhadap kumpulan itu.

TIDAK LEKANG KONTROVERSI

Meski kerjaya semakin mekar berkembang, BLACKPINK tidak terlepas dihujani kontroversi. Walaupun berusaha mengelak, mereka tidak mampu menepis dugaan yang datang.

Kontroversi itu termasuk isu anggotanya Lisa menjadi mangsa diskriminasi peminat dari Korea Selatan yang mempersoalkan kewarganegaraannya sebagai rakyat Thailand mencari rezeki di negara itu.

Sejak isu itu tercetus, #RespectLisa menjadi perbualan satu dunia selepas peminat BLACKPINK dan orang ramai menyatakan sokongan mereka terhadap Lisa yang dikutuk teruk golongan pembenci.

Paling melukakan hati penyanyi itu apabila ada segelintir peminat tergamak memalukannya dengan memperbesarkan latar belakangnya. Dia juga didakwa hanya kelihatan cantik disebabkan solekan dan wajahnya biasa saja untuk warga Thailand.

Tidak ketinggalan, iklan BLACKPINK untuk sebuah platform beli-belah digital menjadi perdebatan hebat di Indonesia berikutan berpakaian seksi.

Sebuah petisyen di negara itu diwujudkan individu dikenali sebagai Maimon Herawati yang meminta iklan itu diharamkan. Petisyen yang ditujukan kepada sebuah saluran penyiaran popular di Indonesia itu mendapat sokongan dengan 100,000 tandatangan.

Maimon percaya iklan berkenaan sangat tidak sesuai untuk tayangan di Indonesia kerana penampilan kumpulan itu yang menjolok mata dan bertentangan dengan hukum Islam.

Dalam pada itu, BLACKPINK bakal tampil dengan konsert sulung di Malaysia selama dua hari iaitu pada 23 dan 24 Februari, jam 6 petang di Stadium Malawati, Shah Alam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 January 2019 @ 5:31 AM