ARIF BAHRAN. -Foto AZIAH AZMEE
Ardini Sophia Sina
hellinie@hmetro.com.my


Rapat tidak semestinya bercinta.

Demikian penjelasan Ariff Bahran mengenai hubungan rapatnya dengan Sarah Suhairi.

Namun, masih ada segelintir pihak yang salah sangka dengan persahabatan dua penyanyi itu.

Menurut Bahran, setiap kali dia memuat naik gambar dengan mana-mana rakan wanita pasti timbul tanda tanya sama ada individu itu kekasihnya.

Bukan setakat itu saja, malah ada segelintir pihak tidak bertanggungjawab mereka cerita hanya berdasarkan gambar yang dikongsikan menerusi laman sosial berkenaan.


BAHRAN bersama Sarah.

“Saya tidak hanya berkawan rapat dengan Sarah. Seperti yang sudah saya katakan sebelum ini, kami kenal sudah lama kerana berada di bawah pengurusan yang sama. Kemudian mula rapat selepas sama-sama menyertai pertandingan Big Stage.

“Bagaimanapun, apabila ramai yang mendoakan supaya kami bercinta, saya hanya katakan doa yang baik-baik. Siapalah saya untuk menolak takdir andai sudah tertulis begitu? Doakan sajalah yang terbaik buat kami.

“Saya pelik dengan segelintir pihak yang selalu menyalahertikan perkataan ‘rapat’. Rapat tidak bermaksud bercinta. Lihat saja apa yang jadi dengan Sissy Iman. Tidak pasal-pasal dia dikatakan kecewa sedangkan hakikat sebenar kami memang berkawan saja dan tidak lebih daripada itu,” katanya.

TERBUKA DENGAN KISAH PERIBADI

Terbuka berbicara kisah peribadi, kata penyanyi yang popular dengan lagu Kata Akhirmu ini, dia tidak pernah meletakkan sempadan apabila bercakap mengenai dirinya.

Menurutnya, selagi perkara berkenaan tidak menyentuh keluarga, jejaka berusia 20 tahun ini tidak mempunyai sebarang masalah untuk berkongsi cerita mahupun memberikan penjelasan jika perlu.

“Andai ditanya soal peribadi atau diminta memberikan penjelasan, saya tidak ada masalah berbuat demikian. Saya tidak meletakkan sebarang batas untuk berkongsi cerita peribadi kerana semua orang boleh lihat perkara itu menerusi perkongsian saya di Instagram.

“Apa yang saya muat naik di laman sosial sudah cukup jelas menceritakan diri saya. Mengenai apa yang saya suka, kawan rapat dan projek baru. Saya tidak kisah jika ia berkaitan diri sendiri tetapi jika membabitkan keluarga saya tidak akan ulas,” katanya.

SYUKUR DENGAN NIKMAT

Bercakap mengenai kerjaya nyanyian­nya, Bahran yang tampil dengan lagu Juara Dusta pada Disember lalu berkata, single kedua itu lebih mencabar vokal serta muzik yang berbeza jika dibandingkan lagu pertamanya.

Bahran bersyukur maklum balas positif yang diterima daripada peminat. Selain itu, stesen radio juga sudah mula memainkan lagu berkenaan.

Jejaka ini juga bersyukur dengan nikmat dan rezeki yang dilimpahkan ke atasnya.

Enggan bertangguh, Bahran merancang melancarkan lagu ketiga dijang­kakan pada bulan hadapan.

Katanya, lagu itu jauh berbeza terutama dari segi muzik.

“Saya bersyukur dengan rezeki yang diberikan. Terima kasih juga atas sokongan peminat terhadap lagu kedua saya itu. Ada perbezaan dengan lagu pertama kerana Juara Dusta lebih mencabar vokal walaupun dari segi muzik tidak ada perbezaan ketara.

“Namun begitu, saya bercadang membawakan kelainan untuk lagu ketiga. Kali ini saya pilih genre pop R&B. Ia adalah jiwa saya dan saya yakin untuk hasilkan sendiri karya berkenaan. Jika balada, saya boleh nyanyi tapi untuk memberikan sentuhan sendiri itu saya kurang yakin,” katanya.

Sejak beberapa tahun lalu, industri muzik di Malaysia sememangnya dihiasi lagu berentak balada. Malahan, penyanyi baru juga tampil mempertaruhkan genre sebegitu.

Namun, Bahran menyedari arus muzik akan sentiasa berubah. Maka, lagu ketiga itu dibuat sebagai persiapan berhadapan dengan peralihan genre muzik yang menjadi pilihan pendengar pada masa akan datang.

Baru-baru ini, Bahran turut mencuba bidang lakonan dengan membintangi telefilem berjudul Dari Jauh. Menyedari dirinya masih baru dan tidak punya sebarang ilmu, dia menerima segala kritikan dengan hati terbuka.

“Saya masih baru dan tidak ada ilmu dalam bidang lakonan. Selama ini, saya hanya tahu menyanyi atas pentas. Lakonan adalah perkara baharu buat saya. Memang ada banyak perkara yang perlu diperbaiki tetapi saya harap orang faham itu adalah cubaan pertama saya.

“Kalau ada peluang lagi selepas ini, saya akan terima. Bagaimanapun, muzik adalah keutamaan saya. Andai ada masa terluang, saya akan terima tawaran berlakon,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 January 2019 @ 6:01 AM