GAMBAR kenangan Nurul Fatiha (kiri) dan Muhammad Amirul (kanan) bersama ibu bapa mereka yang terbunuh dalam kemalangan di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) dekat Serkam, semalam. FOTO Rasul Azli Samad
Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@nstp.com.my


ANAK sulung kepada suami isteri yang maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) berhampiran Serkam, malam semalam sempat membuka kata laluan pada telefon bimbit bapanya, sebelum dia secara tiba-tiba tidak sedarkan diri.

Nurul Fatiha Adelia Mohd Fairuz, 7, berbuat demikian bagi memudahkan orang ramai yang datang membantu menelefon ahli keluarganya untuk memaklumkan kejadian menimpa bersama ibu bapanya, Eziani Abu Bakar dan Mohd Fairuz Haron, masing-masing berusia 34 tahun.

Situasi itu diceritakan abang kepada Mohd Fairuz, Mohd Izwan, 36, yang menerima panggilan daripada seorang pengguna jalan raya memaklumkan mengenai kejadian yang berlaku kira-kira jam 9 malam berkenaan.

“Saya dihubungi individu itu kira-kira jam 10 malam memaklumkan adik (Mohd Fairuz) dan isterinya meninggal dunia akibat kemalangan.

“Individu itu berjaya menghubungi saya dengan bantuan Nurul Fatiha yang membuka kata laluan di telefon bimbit bapanya.

“Sehingga petang ini, Nurul Fatiha masih tidak sedarkan diri dan keadaannya kritikal kerana kecederaan dalaman, namun adiknya, Muhammad Amirul Asyraf, 3, stabil dan berada di wad biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Jasin, hari ini.

Dalam kejadian itu, Mohd Fairuz dan Eziani yang menaiki Proton Saga FLX serta pemandu Perodua Myvi, Lee Boon Yong, 22, maut di lokasi kejadian.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila Perodua Myvi dari arah Melaka menghala ke Muar, Johor terbabas lalu memasuki laluan bertentangan, sebelum merempuh Proton Saga dipandu Mohd Fairuz.

Difahamkan, Eziani yang juga kakitangan Hospital Melaka sedang sarat mengandung anak ketiga.


AHLI keluarga mangsa menunggu urusan tuntutan jenazah di Hospital Jasin, hari ini. Foto RASUL AZLI SAMAD

Sementara itu, kakak Eziani, Mas Aidura, 39, pula tidak menyangka perubahan anak keempat daripada lima beradik yang tiba-tiba tidak banyak bercakap ketika berkumpul seperti kebiasaan menjadi petanda dia akan pergi buat selamanya.

“Siang sebelum kemalangan, saya dan adik keluar bersama membeli barang untuk mengadakan majlis kenduri sempena emak dan ayah yang akan berangkat menunaikan ibadah umrah esok (Selasa).

“Bagaimanapun, dia kelihatan mendiamkan diri walaupun perwatakannya sebelum ini seorang yang peramah dan banyak bercakap,” katanya sejak akhir-akhir ini Eziani sedang sibuk menyiapkan ‘photo book’ gambar keluarganya.

Manakala ibu bapa Eziani, Abu Bakar Omar, 71, dan Hamimah Osman, 54, ketika ditemui reda dengan pemergian anak mereka.

Mereka kini dalam perbincangan kemungkinan mahu menangguhkan ibadah umrah kerana perlu menguruskan kedua-dua cucu mereka.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila Perodua Myvi hilang kawalan lalu terbabas dan memasuki laluan bertentangan di persimpangan pusingan U, sebelum merempuh kereta dipandu Mohd Fairuz.

“Polis meminta kerjasama orang ramai yang menyaksikan kejadian untuk tampil memberi maklumat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Berita berkaitan

Tiga maut kereta bertembung...[METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 January 2019 @ 5:43 PM