PERKAHWINAN jadi alasan warga asing untuk menetap dan membuka perniagaan di Malaysia.
Nor Fazlina Abdul Rahim dan Siti Nor Hidayatidayu Razali
cnews@nstp.com.my


Tanah Merah: Lelaki warga asing terutama Pakistan sanggup ‘membutakan mata’ memilih wanita tempatan sebagai pasangan hidup termasuk yang berusia semata-mata mahu tinggal di negara ini dan membuka perniagaan.

Sehingga kini, Jabatan Imigresen negeri mendaftarkan sejumlah perkahwinan membabitkan wanita tempatan dengan warga asing.

Pengarah Jabatan Imigresen Kelantan Azhar Abdul Hamid berkata, sepanjang tahun lalu pihaknya membatalkan 15 permohonan dibuat warga asing kerana mereka hanya menggunakan isteri yang juga penduduk tempatan untuk membuka perniagaan.

“Kami melakukan lawatan dari semasa ke semasa bagi memastikan warga asing itu tidak mempergunakan penduduk tempatan untuk kepentingan mereka.

“Kebanyakan warga asing terbabit membuka perniagaan kedai runcit dan menjual permaidani,” katanya pada majlis perhimpunan bulanan jabatan itu di sini, semalam.

Menurutnya, bagi mengelak penduduk tempatan dijadikan mangsa pihaknya sentiasa mengadakan pemantauan melalui lawatan ke rumah serta premis perniagaan.

“Malah, setiap kali sebelum dan selepas permohonan permit dibuat, kami membuat lawatan terlebih dahulu bagi memastikan pasangan yang berkahwin itu benar-benar menjalani kehidupan suami isteri.

“Jika setiap kali lawatan kami pergi seorang pasangan tiada, kita panggil ke pejabat bagi direkodkan kenyataan.

“Mengikut peraturan, setiap permohonan permit untuk tinggal di sini dibenarkan sehingga setahun namun sekiranya curiga atau tidak berpuas hati, Jabatan Imigresen hanya lulus tiga hingga 6 bulan,” katanya.

Terpesona sikap rajin berniaga, suka ambil berat

Mengambil berat, rajin berniaga dan memiliki wang menjadi daya penarik wanita tempatan mengahwini lelaki warga Pakistan.

Perkara itu diakui peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Z ahra, 35, yang mendirikan rumah tangga dengan lelaki warga Pakistan berusia 37 tahun sejak 10 tahun lalu.

Perkahwinan mereka bertambah bahagia apabila dikurniakan dua anak berusia enam dan sembilan tahun.

Zahra berkata, dia berkenalan dengan suaminya yang dikenali sebagai Yusof ketika lelaki itu datang ke rumahnya di Wakaf Bharu, Tumpat untuk menjual kain dan permaidani.

Katanya, ibunya membeli kain dan permaidani yang dibayar secara ansuran bulanan.

“Disebabkan ibu saya berhutang, jadi suami datang ke rumah sebulan sekali. Daripada situ, kami berhubung.

“Kebetulan, ketika itu, saya tiada teman lelaki dan selesa berkawan dengannya kerana sikap prihatin sebelum dia melamar saya sebagai isteri,” katanya, semalam.

Menurut Zahra, selepas berkahwin, suaminya mengambil keputusan membuka kedai runcit di Wakaf Bharu dan kini semakin maju apabila dikunjungi penduduk setempat.

Menurutnya, tidak salah berkahwin dengan warga asing asalkan lelaki itu mengambil berat dan tahu tanggungjawab terhadap keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 January 2019 @ 10:00 AM