PELAKON, Nelydia Senrose.
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my

TIADA apa yang lebih membahagiakan aktres Nelydia Senrose apabila dapat menjejakkan kaki ke Tanah Suci Makkah bagi menunaikan ibadah umrah bersama keluarga tercinta hujung bulan lalu.

Apatah lagi, saat melihat Kaabah yang tersergam indah di depan mata, dia tidak putus-putus menzahirkan rasa syukur dapat menjadi tetamu Allah SWT.

“Alhamdulillah, sepanjang hampir dua minggu berada di sana, semuanya berjalan lancar.

“Memang tidak fikir langsung hal kerja. Hati saya tenang hingga hilang segala masalah yang selama ini menyesakkan fikiran.

“Kali pertama melihat Kaabah, saya sebak dan air mata bercucuran. Jiwa saya tersentuh kerana sebelum ini hanya mampu melihatnya di kaca televisyen.

“Namun, kali ini saya berpeluang menyaksikannya depan mata. Tiada kata-kata mampu saya ungkap sehingga hari ini,” katanya.

Kehadirannya ke Makkah turut ditemani ibu dan kakaknya, Uqasha Senrose serta adik, Raysha Rizrose.

Istiqamah

TIDAK dinafikan, kehadiran Nelydia tempoh hari membuatkan ramai menanti perubahan dirinya. Malah pelakon Lafazkan Kalimah Cintamu ini juga berharap diberikan sinar baru dalam hidupnya apabila turut memasang niat suci itu.

Nelydia berkata, setiap insan yang ke Tanah Suci pasti ingin berubah ke arah kebaikan. Namun, dia memohon orang ramai supaya tidak memberi tekanan kepada dirinya segera berubah.

“Sudah tentu macam-macam saya berdoa di sana. Saya juga tidak terkecuali mahu berubah ke arah yang lebih baik.

“Berhijrah memang mudah tetapi untuk sentiasa istiqamah itu agak sukar. Jadi, saya mohon diberikan masa untuk berubah secara perlahan-lahan.

“Hidayah itu milik Allah dan doakan yang baik-baik supaya urusan ke arah itu dipermudahkan,” katanya.

Tolak drama Nur 2

MENYENTUH perihal drama Nur 2, Nelydia mengakui ralat dan terkilan tidak dapat melakonkan watak Juita yang disifatkan mencabar.

Kata Nelydia, dia terpaksa tolak tawaran itu kerana karakter berkenaan tidak bersesuaian dengan dirinya yang baru saja pulang mengerjakan umrah.

“Betul, saya teringin bawa watak Juita tetapi selepas fikir berulang kali dan minta nasihat keluarga, saya terpaksa lepaskan peluang itu.

“Bukan saja disebabkan masa yang tidak sesuai, saya juga perlu mengambil kira situasi yang baru pulang dari Makkah.

“Watak Juita sangat berani, bukan saja dari segi karakter tetapi juga penampilan. Terus terang, saya belum bersedia untuk watak itu. Saya tak mahu merosakkan skrip yang sudah ditulis cantik hanya kerana tidak mampu menjayakannya.

“Mujur pengarah drama itu, Abang Shahrulezad Mohameddin memahami situasi saya. Insya-Allah, jika ada rezeki pada masa depan dan sudah bersedia, saya tidak kisah membawakan watak yang sama jika ditawarkan,” katanya.

Rancang nikah tahun ini

BERALIH sisi peribadi, Nelydia berkongsi berita gembira apabila bakal menamatkan zaman bujang dengan jejaka dikenali sebagai Hafiz tahun ini.

Nelydia berkata, selepas perancangan untuk berkahwin tahun lalu tidak tercapai dia berharap impiannya bergelar isteri tahun ini dipermudahkan.

“Insya-Allah tahun ini. Ikutkan saya rancang kahwin tahun lalu tetapi disebabkan kekangan kerja hasrat itu terpaksa ditangguhkan.

“Mungkin juga masa belum sampai menyebabkan ada saja halangan yang datang,” katanya.

Menurut Nelydia, dia memohon maaf kerana tidak dapat berkongsi butiran terperinci mengenai persiapan perkahwinannya kerana tidak mahu sejarah lama berulang.

“Biarlah sudah 80 peratus siap baru saya kongsi butiran majlis.

“Lagipun, saya tidak mahu kongsi mengenai persiapan perkahwinan secepat ini takut ia akan beri tekanan sekali gus apa yang dirancang tidak berlaku seperti tahun lalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 January 2019 @ 6:00 AM