PELAKON Ashraf Muslim. FOTO Mahzir Mat Isa
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my

KEHIDUPAN peribadi pelakon Ashraf Muslim sering menjadi tumpuan apabila dia berkahwin dua.

Dalam mengekalkan keharmonian bersama kedua-dua isterinya iaitu Noor Dayana Lokman dan Wan Sakinah Ahmad Saburi, Ashraf, 38, atau nama sebenarnya Muhd Ashraf Muslim punya cara tersendiri.

Antara pendekatan digunakan Ashraf adalah menyekat dua wanita kesayangannya itu daripada memiliki akaun laman sosial Instagram (IG).

Ashraf yang juga pelakon filem Bukan Cinta Malaikat berkata, dia tidak mahu Dayana dan Sakinah terpengaruh dengan dakyah negatif dan unsur batu api yang dibawa segelintir pengguna laman sosial hingga mampu memporak-perandakan kebahagiaan mereka sekeluarga.

“Pada awal perkahwinan, masing-masing ada Instagram. Namun, apabila wujud unsur negatif di bahagian komen seperti ingin melaga-lagakan kedua-dua pihak, saya ambil pendekatan melarang mereka aktif. Pendek kata, saya tak bagi mereka ada akaun sendiri.

“Seperti yang kita tahu, IG atau apa saja laman sosial sangat terbuka. Jadi, ia buka ruang kepada sesiapa saja untuk masuk dalam hidup kita. Kalau yang positif tak apa, tapi ini sebaliknya.

“Wanita ini hatinya mudah rapuh dan lemah untuk perkara sebegini. Pantang dijentik sedikit, mereka akan cepat melatah. Disebabkan itu, sebelum ia melarat baik saya halang segera. Saya tak nak komen sebegitu mengganggu keharmonian keluarga saya,” katanya.

Menurut Ashraf, pendekatan yang digunakan itu berjaya dan mereka sekeluarga melalui kehidupan tenang dan gembira ditambah dengan kehadiran anak.

“Diakui pada awalnya mereka terpengaruh juga dengan kata-kata netizen. Sebab ada yang ‘team’ Dayana dan ada juga yang menyebelahi Sakinah. Perkara ini sangat tidak bagus.

“Alhamdulillah, apabila sudah tak ada IG segalanya lebih tenang. Mereka pun boleh fokus dengan keluarga dan perkara lain. Bagi saya itu yang lebih penting. Jangan disebabkan isu kecil, ia merosak­kan semuanya.

“Cuma, saya tak pasti jika mereka ada akaun palsu yang disembunyikan daripada saya. Setakat ini apa yang saya tahu memang tidak ada. Kalau ada sekali pun, jangan sampai ia memudaratkan. Kena fikir itu,” katanya.

Namun begitu, Ashraf masih memberi kebebasan kepada dua isterinya dengan mewujudkan akaun keluarga iaitu Ashraf Legacy.

“Akaun ini untuk kegunaan bersama. Di situ saya benarkan mereka muat naik dan kemas kini apa saja baik berkenaan anak, keluarga dan perniagaan yang diusahakan.

“Alhamdulillah, sejak akaun ini wujud tidak ada komen negatif. Saya bersyukur Allah menjaga kami sekeluarga. Lagipun, apa yang dimuat naik perkara elok.

“Dalam erti kata lain, semua orang kena jaga aib masing-masing. Daripada situ ia membuatkan kita lebih berhati-hati,” katanya.

Berkongsi mengenai keluarga, Ashraf yang baru saja dikurniakan anak keempat yang kini berusia empat bulan menzahirkan rasa syukur dengan rezeki yang dikurniakan.

Ashraf berkata, dia perlu bekerja keras bagi memastikan kehidupan mereka sekeluarga terjaga dengan baik.

“Alhamdulillah, saya dan keluarga okey. Kehadiran anak menambahkan lagi rezeki. Cuma, apabila anak ramai pengurusan kena betul kerana komitmen semakin tinggi.

“Macam saya, tiga anak sudah bersekolah. Jadi, saya kena kerja lebih keras. Insya-Allah, rezeki pasti ada. Allah akan bantu kita,” katanya.

Menerusi perkahwinan dengan Dayana, Ashraf dikurniakan seorang anak lelaki, Anas Ashraf yang kini berusia empat tahun.

Sementara dengan Sakinah, mereka dikurniakan tiga anak iaitu, Sarah Ashraf, 4, Adam Ashraf, 3, dan Saffiyah Ashraf, empat bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 January 2019 @ 5:30 AM