Ahmad Johari Mohd Ali dan Norrasyidah Arshad
cnews@nstp.com.my


PEGUAM yang mewakili keluarga Muhammad Adib Mohd Kassim percaya punca kematian anggota bomba itu akibat dipukul.

Mohd Kamaruzaman A Wahab berkata, bagaimanapun pihaknya tidak dapat mengulas lanjut dan perlu menunggu dokumen yang diserahkan ke mahkamah.

“Pihak pendakwaan sudah memulakan prosiding bagi mencari punca kematian Muhammad Adib.

“Kami akan bantu mahkamah dengan mengemukakan kira-kira 30 saksi,” katanya.

Kamaruzaman berkata, ahli keluarga Muhammad Adib tidak hadir ke prosiding inkues yang berjalan, hari ini.

“Ahli keluarga yang tinggal di Kedah akan hadir pada hari perbicaraan inkues nanti,” katanya.

Dalam kejadian awal pagi 27 November tahun lalu, Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dipercayai dipukul sekumpulan perusuh di hadapan kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya.

Dia dimasukkan ke unit jagaan rapi di Pusat Perubatan Ramsay Sime Darby, Subang Jaya, kira-kira 1 pagi, sebelum dipindahkan ke Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur, pada keesokan malamnya.

Bagaimanapun, Muhammad Adib disahkan meninggal dunia di IJN pada 9.41 malam, 17 Disember lalu.

Sementara itu, prosiding inkues hari ini turut dihadiri beberapa ahli Gerakan Masyarakat Malaysia (GERAS) bagi mengikuti prosiding berkenaan.

Pengerusi GERAS, Abu Bakar Mohamed turut memakai sepersalinan baju Melayu berserta tengkolok berwarna biru sebagai tanda sokongan untuk mendapatkan keadilan terhadap kematian Muhammad Adib.

Lagi berita berkaitan Allahyarham Muhammad Adib

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 January 2019 @ 12:06 PM