LOW (dua dari kanan) memeriksa harga makanan ketika Operasi memeriksa restoran nasi kandar halal di sekitar Bangsar.
PEGAWAI KPDNHEP melakukan pemeriksaan terhadap salah sebuah kedai mamak dalam operasi bersepadu semalam.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@nstp.com.my


Kuala Lumpur: Benteras kewujudan restoran mamak palsu! Itu tindakan tegas diambil Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur yang melakukan pemeriksaan mengejut di 31 restoran mamak sekitar ibu kota.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Kuala Lumpur Low Swee Hon berkata, pemeriksaan berkenaan memfokuskan sijil dan penandaan halal yang digunakan premis terbabit.

“Bagaimanapun semua premis kedai mamak diperiksa itu tidak diberikan sebarang notis kerana mematuhi peraturan ditetapkan.

“Kita mengesahkan semua pemilik restoran berkenaan adalah orang Islam. Walaupun ada yang tidak memiliki tanda halal dan mempamerkan ayat-ayat suci, pemiliknya adalah muslim,” katanya pada pada sidang media selepas tamat operasi bersepadu penandaan halal di Bangsar di sini, semalam.


Operasi turut disertai empat agensi penguatkuasaan termasuk Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Bahagian Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Mengulas berhubung operasi berkenaan, Swee Hon berkata, empat restoran mamak diperiksa di sekitar kawasan berkenaan semalam.

“Tiada sebarang notis dikeluarkan, bagaimanapun pihak SSM mengeluarkan empat notis bagi membaiki pameran papan tanda restoran dan memaparkan sijil daftar perniagaan.

“Secara keseluruhannya, semua premis yang diperiksa adalah milik muslim dan salah satu restoran mempunyai sijil halal yang sah,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan berhubung tanda harga mendapati semua restoran berkenaan mematuhi peraturan ditetapkan KPDNHEP.

“Walaupun terdapat tanda harga yang tidak jelas, kami sudah memberi nasihat kepada pemilik restoran berkenaan. “Pemeriksaan ulangan akan dilakukan bagi memastikan semua restoran ini mematuhi penandaan halal dan tanda harga yang ditetapkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 January 2019 @ 7:36 AM