Syafiq tidak takut kecaman netizen. FOTO NSTP
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


"LEBIH banyak babak panas termasuk membabitkan Ustaz Adam dan Juita di ranjang dalam drama rantaian Nur 2.

"Namun, saya tidak takut dengan kecaman netizen nanti kerana sebagai pelakon saya perlu pastikan babak panas dilakonkan beri impak pada lakonan," kata pelakon popular Syafiq Kyle mengulas mengenai watak Ustaz Adam lakonannya dalam drama rantaian Nur 2.

Menurut Syafiq, dia tidak kisah dengan kecaman penonton kerana apa yang penting dia menjanjikan yang terbaik pada lakonan.

"Pada permulaan cerita memang orang akan kecam tetapi selepas memahami jalan cerita dan mesejnya barulah mereka akan menyukainya sama seperti drama Nur sebelum ini.

"Saya sendiri menyukai watak Ustaz Hamadi dan Aishah kerana ia memang dekat dengan masyarakat kita.

"Saya juga percaya, penonton juga akan lebih meminati dan mengagumi watak Ustaz Adam dalam drama Nur 2 nanti," katanya.

Ditanya gandingan dengan pelakon Azar Azmi yang akan melakonkan watak antagonis Juita, Syafiq berkata, dia pernah bekerjasama dengan pelakon itu sebelum ini.

"Saya belum memulakan penggambaran babak dengan Azar lagi tetapi karakter Juita itu memang sangat 'daring'.

"Sebab itu, saya faham kenapa pelakon Nelydia Senrose terpaksa menolak tawaran watak Juita kerana dia juga baru kembali dari menjalani ibadah umrah, baru-baru ini," katanya.

Mengulas sama ada drama Nur 2 akan mencetuskan fenomena seperti yang pertama, kata Syafiq, dia juga hanya menyerahkan pada penilaian penonton.

"Saya sangat teruja dengan jalan cerita Nur 2 yang lebih bagus dan diluar kotak. Saya sendiri sudah sebati dengan karakter Ustaz Adam.

"Selain penambahan karakter yang lebih bagus, kami juga rapat dan bagaikan keluarga yang besar," katanya.

Drama bersiri rantaian sebanyak 15 episod Nur 2 arahan Shahrulezad Mohameddin akan bersiaran di Slot Samarinda di TV3 pada Mac nanti.

Selain Syafiq, drama itu turut menyaksikan kemunculan barisan pelakon asalnya seperti Amyra Rosli, Raja Atiq, Fatimah Abu Bakar, Datuk Jalaluddin Hassan, Noorkhiriah dan Azhan Rani.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 January 2019 @ 1:27 PM