PENYANYI, Stacy. FOTO Salhani Ibrahim
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


KETIKA industri hiburan meraikan kebangkitan penyanyi baru, nama Stacy masih meniti di bibir peminat.

Seiring dengan usia pembabitan Stacy, 29, atau nama sebenarnya Ummu Shaikhah Stacy Anam dalam bidang nyanyian, penyanyi yang mendapat jolokan Ratu Tari Malaysia ini terus mengatur langkah dan strategi supaya terus kekal relevan.

Bagi mencipta kelainan terhadap muzik yang dibawa, Stacy yang popular menerusi lagu Bosan, Jahat, Gilalah dan banyak lagi memilih bekerjasama dengan komposer antarabangsa, Bryan Bonte Beat dari Lion Music Group.

Menurut Stacy, lagu yang sudah siap dirakam itu adalah percubaan terbarunya mengetengahkan bunyi dan muzik berbeza daripada kebanyakan lagu sebelumnya.

“Dalam negara kita, Bryan pernah menghasilkan lagu kumpulan DeFam. Jadi, apabila saya dapat bekerjasama dengannya ia sesuatu yang menyeronokkan. Lagipun, untuk tahun ini saya memang merancang menghasilkan lagu yang mempunyai bunyi dan melodi yang sedikit berbeza.

“Apabila saya mendengar bunyi yang dihasilkan, ia sangat sesuai dengan genre muzik yang dibawa. Jadi, keputusan untuk kami bekerjasama adalah tepat. Selain Bryan, dalam lagu ini saya turut menggunakan khidmat Akim dan lirik sepenuhnya daripada saya.

“Saya berharap gabungan kami ini menjadi sekali gus memberi kejayaan kepada lagu ini sama seperti lagu lain. Saya tak menjanjikan bulan dan bintang, cuma apa saya boleh katakan ia muzik yang segar dan tak pernah ada dalam lagu saya sebelum ini,” katanya.

Stacy yang meraikan ulang tahun ke-11 sebagai anak seni berkata, lagu baru yang bakal dilancarkan bulan depan itu menyaksikan satu lagi evolusi dalam kerjaya dan genre yang dibawa.

“Bagi yang mengikuti perkembangan muzik saya, mereka tahu setiap lagu yang dihasilkan adalah berbeza. Walaupun konsep sama, bunyi dan muzik berbeza. Sebagai contoh, lagu Romeo, Not For Sale dan Cakap Ke Tangan.

“Jadi untuk lagu ini pun, satu lagi evolusi muzik baru akan diperdengarkan kepada semua. Malah, dari dulu saya bertanggungjawab memilih dan menentukan lagu yang akan diterbitkan. Ia seiring dengan perubahan waktu dan usia saya,” katanya.

Menurut Stacy, apa yang penting dia masih mengekalkan elemen menari kerana itu sudah menjadi identiti dirinya sejak awal.

“Menari tetap ada. Seperti saya katakan tadi, bunyi saja saya cuba suntik kelainan dan sedikit berbeza,” katanya.

Berkongsi mengenai pembabitannya sebagai penulis lirik, Stacy yang juga ibu kepada dua cahaya mata berkata ia bukan sesuatu yang mudah.

“Sebelum ini saya tulis lirik untuk lagu penyanyi lain mudah saja. Idea datang mencurah-curah tetapi untuk lagu sendiri sangat susah. Bagaimanapun, saya sudah berikan yang terbaik.

“Saya berterima kasih kepada suami yang banyak membantu. Sebenarnya, dia adalah pendorong saya untuk berjinak-jinak dalam bidang penulisan lirik.

“Malah, untuk lagu baru ini juga saya turut menyumbang idea dari segi melodi. Insya-Allah, selepas ini saya boleh cuba buat lagu lain pula,” katanya.

Bercerita mengenai kehidupan peribadi pula, Stacy mengakui seronok membesarkan sendiri anak.

Stacy berkata, kerjaya sebagai penyanyi tidak menghalang untuknya menjalankan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu.

“Di rumah saya sama seperti wanita berkeluarga lain iaitu menjadi suri rumah. Sejak anak pertama lagi, saya tak pernah ada pembantu rumah. Semuanya saya buat sendiri. Bukan apa, saya berasa lebih puas dan seronok kerana dapat melihat mereka membesar depan mata.

“Sekarang, anak pertama sudah berusia tujuh tahun. Sejak dia mula bersekolah, rutin saya sudah bertukar. Walaupun pada awalnya sedikit kelam-kabut, lama- kelamaan semuanya jadi lancar.

“Apabila ada anak kedua yang kini mencecah usia dua tahun, rutinnya pula berbeza. Setiap hari, saya dan suami cuba untuk susun jadual sebaik-baiknya,” katanya

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 January 2019 @ 9:10 AM