WOO menunjukkan kaedah terbaik mempelajari matematik kepada pelajar yang menyertai sesi interaksi dan perkongsian di The Discovery Centre, Petrosains, Menara Kembar Petronas, semalam.
Redzuan Muharam
redzuan.muharam@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: “Saya tahu ramai menganggap matematik sebagai satu subjek yang susah sedangkan bukan mustahil untuk sesiapa saja menguasainya.

“Malah, menjadi tanggungjawab saya sebagai pendidik untuk mengubah persepsi itu menerusi kaedah pengajaran lebih santai dan menyeronokkan,” kata Ahli Matematik Australia, Eddie Woo.

Woo, 34, yang juga Ketua Guru Matematik di Sekolah Tinggi Cherrybrook Technology, Sydney, Australia mengakui matematik bukan mata pelajaran kegemarannya ketika di sekolah, malah cita-cita asalnya adalah menjadi guru subjek berteraskan kemanusiaan.

Namun, keinginannya untuk menjadi guru matematik timbul selepas menyedari keperluan mengisi kekosongan sebagai pendidik, sekali gus melahirkan generasi pelapis yang pakar dalam bidang berkenaan.

“Saya juga sama dengan segelintir pelajar ketika di sekolah dulu yang tidak menggemari matematik kerana rumit disebabkan perlu menghafal formula bagi menyelesaikan masalah.

“Sedangkan, ia satu mata pelajaran menyeronokkan dan saya menyedarinya sejak mula berkhidmat sebagai guru lebih 10 tahun lalu.

“Setiap guru mempunyai cara tersendiri dan pendekatan saya ketika mengajar adalah bercerita supaya pelajar tidak bosan serta paling penting faham dengan apa disampaikan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi interaksi dan perkongsian bersama 200 guru dan pelajar sekolah menengah di The Discovery Centre, Petrosains, Menara Kembar Petronas di sini, semalam.

Sesi itu dianjurkan Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia dengan kerjasama Petrosains dalam usaha untuk memberi kefahaman selain mendekatkan peserta terhadap pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Woo yang pernah memenangi Anugerah Hero Tempatan Australia tahun lalu berkata, proses pengajaran dan pembelajaran matematik juga boleh bertambah menarik jika diselitkan dengan elemen menarik daripada subjek lain.

“Setiap silibus pembelajaran mempunyai hubung kait dengan satu sama lain, begitu juga dengan subjek matematik.

“Jadi, guru perlu mempelbagaikan kaedah pengajaran dan pembelajaran dengan menyuntik elemen yang boleh menambah minat pelajar,” katanya yang menggunakan platform YouTube untuk berkongsi ilmu matematik dan kini mempunyai lebih 495,000 pengikut di saluran berkenaan.

Sementara itu, Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Cannaught, Nor Suzieana Ibrahim, 40, berkata, informasi dikongsikan Woo bermanfaat dan digunakan untuk meningkatkan minat serta membantu pelajarnya menguasai matematik.

“Banyak input yang saya dapat menerusi penyertaan dalam sesi interaksi bersama Eddie hari ini (semalam dan saya akan cuba mengaplikasikannya mengikut kesesuaian sebagai satu cara untuk mengelakkan pelajar bosan ketika sesi pengajaran dan pembelajaran.

“Lagipun, konsep itu amat membantu lebih-lebih bagi menyokong kaedah Pembelajaran Abad ke-21 (PAK-21) yang memerlukan pelajar untuk membabitkan diri dengan aktif di dalam kelas.

“Malah, tidak semestinya di dalam kelas, tetapi diaplikasikan oleh kelab dan persatuan di sekolah,” katanya yang bergelar pendidik sejak 16 tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 January 2019 @ 7:58 AM