POLIS menjalankan siasatan terhadap kontena berisi hampir 500 kilogram syabu yang berjaya dirampas dalam sekatan jalan raya di Taiping, Perak. FOTO NSTP
Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Muhammad Apendy Issahak
am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Rampasan dadah terbesar pertama tahun ini membabitkan syabu dianggarkan bernilai lebih RM15 juta yang cuba dipindah menggunakan treler.

Dadah dipercayai seberat hampir 500 kilogram (kg) itu yang disembunyikan di dalam kontena dirampas anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman susulan risikan dan maklumat diterima.

Sumber polis Bukit Aman berkata, kegiatan sindiket dadah berkenaan ditumpaskan sekitar jam 3 petang kelmarin ketika kenderaan berat itu dikesan melalui Lebuhraya PLUS berhampiran Changkat Jering, Perak.

Katanya, sepasukan anggota polis kemudian membuat penutupan jalan berhampiran Hentian Taiping, Perak untuk menahan treler itu yang dipandu ke arah utara.

“Anggota polis yang menggeledah kontena dibawa treler itu kemudian menemui puluhan kotak di dalamnya. Pemeriksaan lanjut mendapati semua kotak itu mengandungi dadah disyaki syabu.

“Semua dadah itu dianggarkan seberat 500kg dan bernilai hampir RM15 juta. Ini berdasarkan harga syabu antara RM20,000 dan RM30,000 sekilogram bagi pasaran tempatan,” katanya.

Susulan itu, pemandu treler dan kenderaan berat berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping untuk tindakan lanjut.

“Polis masih menyiasat kemungkinan dadah syabu itu cuba diseludup ke negara jiran berikutan permintaan lebih tinggi selain harga syabu lebih mahal hampir tiga kali ganda di negara jiran.

“Kejayaan terbaharu ini membuktikan tindakan tegas dan berterusan JSJN menjejaki sindiket dadah tempatan serta antarabangsa yang menjadikan Malaysia sebagai hab serta makmal memproses dadah berkenaan,” katanya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Yahya Abdul Rahman, ketika dihubungi semalam mengesahkan kes itu namun memaklumkan maklumat lanjut dan sidang media berhubung rampasan akan dibuat oleh Bukit Aman.

Sementara itu, Pengarah JSJN Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, satu sidang media mengenai kejayaan rampasan dadah berkenaan akan dibuat di Bukit Aman hari ini.

Pada 24 November tahun lalu polis turut berjaya membongkar sindiket pemprosesan dadah yang memilih kawasan perindustrian terpencil di Semenyih, Selangor sebagai pusat menghasilkan syabu berskala besar.

Sindiket itu mendakwa kononnya menjalankan aktiviti pemprosesan baja namun sebaliknya mereka menjalankan aktiviti pemprosesan cecair ibu syabu meth oil untuk dijadikan crystal meth atau syabu yang siap dimasak.

Hasil serbuan itu, polis merampas meth oil dianggarkan seberat 174 kg yang boleh menghasilkan seberat 70 kg kristal syabu, syabu seberat satu kg serta peralatan makmal untuk memproses dadah lima unit mesin.

Keseluruhan nilai dadah dirampas dianggarkan berjumlah RM3.55 juta dan dipercayai untuk pasaran dalam dan luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 January 2019 @ 10:33 AM