CHE Munah Che Man, 80 dan suami, Abdullah Jusoh,64 memasak dan tidur di ruang tamu rumahnya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Banggol Pak Esah, Pasir Puteh. FOTO Nor Amalina Alias
Nor Amalina Alias
cnews@nstp.com.my


WALAUPUN terpaksa berniaga dengan sebelah mata yang hampir buta, warga emas, Che Munah Che Man, 80, sanggup menjaja asam keping demi mendapatkan sesuap nasi bagi mengalas perut.

Che Munah berkata, akibat kemiskinan, dia terpaksa menjaja asam keping di sekitar Pasir Puteh dan Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu sejak empat tahun lalu.

“Makcik menjaja asam keping bukan banyak, hanya bawa antara 12 hingga 14 bungkus sahaja sehari. Duit yang makcik dapat itu nanti boleh digunakan untuk membeli beras dan ikan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Banggol Pak Esah, di Pasir Puteh.

Kisah hidup Che Munah yang mengalami masalah penglihatan kanan itu tular selepas dikongsi pelanggan asam kepingnya di Facebook pada Isnin lalu.

Tinjauan ke rumahnya juga mendapati hanya terdapat satu dapur gas dan satu tilam dengan kelambu tanpa sebarang perabot di ruang tamu yang kecil.

Che Munah berkata, walaupun miskin, dia tidak pernah meraih simpati sesiapa dan bergantung pada jualan asam keping kerana modalnya yang murah selain mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan.

Katanya, dia tidak menyangka permintaannya untuk meminta sedikit makan daripada pelanggannya, Isnin lalu mendapat perhatian ramai.

“Kebetulan saya demam dan hari itu hari terakhir saya menjaja, jualan kurang jadi saya minta dibelikan makanan, tak sangka pelanggan itu datang ke rumah dan selepas itu saya terkejut bila ramai orang yang datang melawat dengan bawa makanan dan duit,” katanya yang mengakui tidak mempunyai telefon bimbit dan tidak tahu kisahnya tular di laman sosial.

Suami Che Munah, Abdullah Jusoh, 64 berkata, dia kini tidak bekerja kerana hanya pandai melakukan kerja kampung dan tiada yang mengupahnya.

“Saya hantar isteri ke jalan besar dan dia ambil kereta sewa pergi menjaja, sementara saya cuba cari kerja kampung yang boleh bagi kami makan dan minum,” katanya yang berkahwin dengan Che Munah, lima tahun lalu.

Bagi yang ingin membantu boleh menyalurkan bantuan ke akaun Bank Islam Che Munah Che Man di nombor 03090-02-0843923.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 January 2019 @ 6:51 PM