Hanneeyzah Bariah Baharin
hanneeyzah@nstp.com.my


WANITA berusia 27 tahun ketakutan kerana menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) lucah daripada penghantar misteri sebelum menyedari ia dihantar abang iparnya.

Dalam kejadian bermula jam 1 tengah hari, 3 November tahun lalu, mangsa menerima SMS daripada nombor tidak dikenali ketika berada di tempat kerja di Bukit Tumbuh, Kuala Nerus.

Sumber berkata, mangsa yang bekerja sebagai kerani menerima SMS daripada nombor berkenaan yang menyatakan dia semakin sombong, selain berbaur pujuk rayu dan mengajaknya melakukan hubungan seks.

Penghantar juga mendakwa mengetahui segala rahsia mangsa dan mengugut untuk membongkarkan ia kepada abang mangsa.

“Lelaki itu seterusnya menghantar SMS jam 1.46 tengah hari sambil memberitahu tidak dapat menahan keinginan seksnya bersama mangsa.

“Tidak lama kemudian, mangsa sekali lagi menerima SMS memintanya datang ke rumah suspek dengan alasan ‘line clear’, namun tidak diendahkan mangsa.

“Mangsa kemudian menerima panggilan daripada nombor sama yang memintanya datang ke sebuah klinik di Flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Padang Hiliran, di Kuala Terengganu.

“Bagaimanapun, mangsa terkejut sebaik mendengar suara lelaki itu kerana ia suara abang iparnya sendiri,” kata sumber.

Dengan niat mahu membongkar identiti lelaki itu, mangsa ke rumah abang iparnya di tingkat 12 flat berkenaan dan mendapati kediaman itu berkunci dari dalam lalu membuat keputusan pulang ke rumah berikutan bimbang keselamatan diri.

Bagaimanapun, mangsa hanya membuat laporan mengenai kejadian di Balai Polis Kuala Terengganu pada 4 Januari lalu selepas bimbangkan keselamatan keluarganya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana perkataan atau isyarat yang mengaibkan kehormatan wanita.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 January 2019 @ 6:01 PM