AKSI Indet menyeru buaya.
Kandau Sidi dan Muhd Amirul Faiz Ahmad
cnews@nstp.com.my


MIRI: Jika pakar buaya Australia, mendiang Steve Irwin dikenali di serata dunia dengan ketangkasannya menangkap reptilia ganas itu menggunakan pelbagai peralatan, Indet Sanabong, 53, hanya bersenjatakan tangannya untuk menewaskan Sang Bedal.

Cukup dikenali sebagai pawang buaya di Sarawak, mana-mana buaya yang pernah menyerang atau membaham manusia pasti jinak sebaik terkena tamparan berbisa beliau.

Malah, buaya yang terkena tamparan tangannya selepas dijampi akan segera menjadi tenang, tidak melawan dan dapat diikat mudah.

Bagi pawang yang sudah menjinakkan lebih 100 reptilia itu termasuk Bujang Seblak yang membaham dua penduduk di Roban, Saratok buaya yang ‘ditampar’ atau terkena sentuhan tapak tangannya akan menyerah kalah terutama yang menyerang manusia.

Berkongsi pengalamannya, Indet berkata, mana-mana buaya yang memakan atau menyerang manusia akan ditimpa musibah dan menerima balasan setimpal dengan perbuatan kejamnya.

“Setiap buaya yang menjamah daging manusia akan ‘tulah’ (berdosa) dan pasti akan menerima hukuman mati disebabkan perbuatannya. Buaya itu akan mudah dijerat dengan pancing biasanya diumpan dengan monyet, ayam, biawak atau daging mentah lain,” katanya.

Tali yang biasa digunakan ialah rotan kerana ia tahan lama bagi menahan regangan ketika ditarik kuat reptilia itu apabila memasuki air atau berguling berbanding tali lain.

“Rotan lebih kenyal dan tidak mudah putus. Buaya mudah lemah dan menyerah apabila ditarik dengan tali rotan,” katanya.

Mengikut kepercayaan masyarakat Dayak di Sarawak, buaya kebiasaannya tidak menyerang manusia sesuka hati kecuali individu terbabit pernah memakan daging buaya.

“Bagi orang Dayak khususnya masyarakat Iban yang bergantung kepada sungai, mereka cuba mengelak membunuh buaya kecuali keluarga berkenaan pernah diserang buaya.

“Dendam antara buaya dan manusia tidak akan berakhir selagi tidak dilakukan upacara ‘miring’ bagi menghentikan pergaduhan kedua-dua pihak. Itu kepercayaan lama yang banyak diamalkan di Sarawak,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan konflik antara buaya dan manusia berlaku disebabkan faktor lain termasuk kekurangan tempat pembiakan buaya disebabkan banyak kawasan hutan dan paya ditebang untuk tujuan pertanian.

Mengenai masa depan dan kerjaya menangkap buaya, Indet berkata, tidak banyak generasi muda mahu berkecimpung dalam bidang itu kerana ia tidak menjanjikan pulangan lumayan seperti bekerja di pejabat selain faktor takut dan gentar berdepan Sang Bedal.

“Walaupun kerajaan memberi peluang atau mengeluarkan permit memburu reptilia itu, tidak ramai yang berminat untuk mencuba,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 January 2019 @ 8:10 AM