ESTRANGED kembali dengan lagu terbaru berjudul Milik Ku. FOTO/AZIAH AZMEE
Noriza Sainal
noriza@hmetro.com.my


Hampir setahun melancarkan single berjudul Sebelum & Selepas, Estranged kembali dengan lagu terbaru berjudul Milik Ku.

Estranged yang mula dikenali menerusi lagu Itu Kamu turut mencipta kelainan apabila mengedarkan single Milik Ku dalam format cakera padat (CD) dan bukan menerusi platform digital seperti iTunes dan Spotify.

Penyanyinya, Rich Gimbang berkata, ia bertujuan supaya penjualan secara fizikal mendapat sambutan yang diharapkan.

Katanya, hasil penjualan CD itu juga akan disalurkan kepada dana bantuan bekalan elektrik di kawasan pedalaman beberapa kampung di Sabah.

“Matlamat kami ialah untuk membantu menyalurkan bekalan elektrik kepada 20 hingga 40 kampung di sana. Ia bergantung kepada jumlah kutipan yang dikumpul sama ada menerusi persembahan dan penjualan CD di Facebook dan Instagram,” katanya.

Rich berkata, mereka juga bekerjasama dengan rakan seperjuangan dari syarikat guaman Thomas Philip dan setakat ini sudah berjaya membantu dua kampung di Sabah.

“Dengan kerjasama ini, kami akan meneruskan penjualan single terbaru untuk projek kampung yang seterusnya di Ranau, Sabah,” katanya.

Menerusi Milik Ku, kumpulan yang turut dianggotai Solihuddin Hormat (gitar) dan Nor Hanafi (gitar utama) ini membawa pendengar mengamati gambaran perasaan cinta serta sayang terhadap keluarga mereka.

Rich berkata, idea penghasilan lagu itu tercetus ketika mereka dalam program Misi Elektrik Borneo yang mengambil masa berbulan-bulan dan sering berjauhan dengan keluarga.

“Perasaan rindu dan keinginan bersama keluarga serta insan tercinta menjadi sumber inspirasi kepada penulisan lagu Milik Ku.

“Selain itu, kami juga ingin mengembalikan perasaan cinta di antara keluarga, sahabat dan masyaraka terutama ketika keadaan masyarakat hari ini yang mengalami tekanan. Kami percaya kuasa cinta dapat menyelesaikan pelbagai masalah,” katanya.

Penghasilan video muzik Milik Ku di bawah arahan Din Hormatov itu adalah kali pertama dijayakan menerusi Bornaya Media, selain menjalin kerjasama bersama Syabil sebagai jurukamera.

Din berkata, semua babak yang dirakam bukanlah lakonan dan ia berlaku tepat pada waktunya kerana mereka mahukan momen kasih sayang yang ditayangkan lebih realistik.

“Kami mahu penonton dan peminat menilai sendiri serta merasainya bersama,” katanya.

Video muzik yang sudah dimuat naik di YouTube sejak seminggu lalu itu turut menampilkan penyanyi popular Datuk Zainal Abidin dan isterinya, Datin Angelina.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 January 2019 @ 6:00 AM