YUSHREY (kiri) bersama adik iparnya menurunkan bumbung rumah yang rosak ekoran ribut Tropika Pabuk yang berlaku sejak semalam di Kampung Mengabang Telipot. -Foto GHAZALI KORI
Helmy Abd Rahman dan Zaid Salim
cnews@nstp.com.my


KUALA NERUS: “Tak sangka kuat macam ni, macam disentap gergasi,” kata Yushrey A Rashid, 44, dari Kampung Mengabang Telipot, di sini.

Yushrey mengalami kerugian kira-kira RM2,500 selepas 16 atap rumahnya diterbangkan angin akibat terkena tempias ribut Tropika Pabuk yang turut ‘menyerang’ negeri itu.

Pesara tentera itu berkata, ketika kejadian, dia bersama isterinya, Nurul Liyananazihah Mohamad Yahaya, 29, dua anak dan adik iparnya berada di dalam rumah.

“Kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam (kelmarin), atap bilik rumah kami berbunyi kuat sebelum tiba-tiba tercabut seolah-olah disentap gergasi.

“Malam tadi (kelmarin) sekitar jam 10 malam, sekali lagi angin kuat menghentam rumah kami dan menerbangkan pula atap dapur.

“Kerana bimbangkan keselamatan, kami sekeluarga mengambil keputusan bermalam di rumah sepupu yang terletak tidak jauh dari sini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Nurul Liyananazihah pula berkata, walaupun sebelum ini mereka pernah berhadapan situasi sama, kejadian semalam paling menakutkan pernah dialami sejak mendiami rumah itu, 13 tahun lalu.

“Sebelum ini hanya satu atau dua keping saja atap yang tercabut, tetapi semalam, sehingga 16 keping dan angin memang kuat (kencang) betul,” katanya.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan media sebelum ini memberi amaran angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 50 hingga 60 kilometer (km) sejam dan laut bergelora serta ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter (m) dijangka melanda kawasan perairan Kelantan, Terengganu dan Pahang sehingga Sabtu ini.

Keadaan angin kencang dan laut bergelora itu berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan serta perkhidmatan feri.

Sementara itu, angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 40 hingga 50 km sejam dan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 m dijangka melanda kawasan perairan Johor Timur, Sarawak dan Sabah Barat sehingga tempoh sama.

Keadaan itu berbahaya kepada bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut, kata kenyataan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 January 2019 @ 8:22 AM