PENGURUS Besar Kanan, Ketua ANIH Berhad, Radzimah Mohd Radzi (tiga kiri) meninjau keadaan peniaga di gerai makanan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Kawasan R&R Gambang Arah Timur selepas kejadian tular mengenai pergaduhan di kawasan tersebut baru baru ini. FOTO Farizul Hafiz Awang
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
cnews@nstp.com.my


ANIH Berhad mengambil keputusan menamatkan kontrak pemilik gerai nombor enam di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gambang arah Timur, selepas didapati bersalah melanggar syarat ditetapkan pengurusan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) itu.

Pengurus Besar Kanan, Ketua ANIH Berhad Radzimah Mohd Radzi berkata, keputusan itu diambil selepas siasatan dalaman dijalankan pihaknya selain mengambil kira hukuman denda yang dikenakan Mahkamah Majistret Kuantan, Isnin lalu, terhadap enam lelaki yang terbabit memukul pemandu bas ekspres, pada 24 Disember lalu.

Beliau berkata, kontrak pemilik gerai berkenaan yang sepatutnya ditandatangani semula setiap tahun selepas tamat pada 31 Disember lalu tidak dipertimbangkan untuk disambung selepas kejadian itu baru-baru ini.

“Mereka didapati melanggar klausa 2.5 yang termaktub dalam kontrak yang mana penggerai atau pekerja dilarang menggunakan gerai untuk sebarang tujuan lain, berkelakuan kurang sopan dan bergaduh.

“Atas pertimbangan itu kita ambil keputusan untuk tamatkan kontrak mereka. Tindakan ini juga menjadi pengajaran untuk peniaga lain supaya lebih berhati-hati dalam menjalankan urusan perniagaan,” katanya pada sidang media di R&R Gambang arah timur, Kuantan, hari ini.

Radzimah berkata, bagi memulihkan kembali situasi ekoran wujud dakwaan beberapa penggerai bahawa perniagaan mereka diboikot terutama dalam kalangan pemandu bas, Radzimah memaklumkan pertemuan dengan pengurusan Sani Express sudah dilakukan pada 26 Disember lalu.

Katanya, pertemuan itu bagi membincangkan permasalahan yang timbul selain mencari jalan penyelesaian bagi memulihkan keadaan.

Ditanya mengenai langkah keselamatan yang akan diambil pengurusan LPT itu, beliau berkata, ANIH Berhad sudah bersetuju memasang kamera litar tertutup (CCTV) dalam masa terdekat di semua R&R di bawah kendalian mereka.

Isnin lalu, Mahkamah Majistret Kuantan, menjatuhkan hukuman denda RM2,000 setiap seorang ke atas enam lelaki yang mengaku bersalah kerana memukul pemandu bas ekspres di R&R Gambang arah barat pada 1.30 pagi 24 Disember lalu.

Kejadian tercetus susulan pemandu bas berkenaan bertindak memukul dua pekerja gerai di R&R Gambang arah timur kerana berlaku salah faham antara mereka.

Pemandu bas berusia 32 tahun terbabit turut ditahan polis dan membuat pengakuan tidak bersalah serta minta dibicarakan oleh mahkamah pada Isnin lalu atas dua pertuduhan dikenakan ke atasnya.

Sementara itu, Radzimah berkata, sekiranya berlaku salah faham antara peniaga dan pelanggan ia boleh diselesaikan secara harmoni malah pelanggan yang tidak berpuas hati boleh membuat aduan di mana-mana platform disediakan ANIH Berhad.

INFO

•Sebanyak 32 gerai perniagaan terdapat di R&R Gambang di kedua arah.

•Secara purata terdapat 80 hingga 90 pekerja di R&R Gambang di kedua arah.

•Kira-kira 50 peratus kehadiran pelanggan merosot di kedua arah R&R Gambang disebabkan insiden pergaduhan yang tular.

•Orang ramai yang ingin membuat aduan boleh menggunakan saluran Twitter dan Facebook ANIH Berhad selain berhubung terus 09-5479111.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 January 2019 @ 12:53 PM