ROHANI menjaga anak sulungnya di HKL.
Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: “Dia minta kalau boleh nak pulang ke rumah walaupun sehari kerana mahu ke sekolah selepas bosan terlalu lama duduk di wad.

“Tapi, saya cuba nasihatkannya supaya kuatkan semangat untuk cepat sembuh agar dapat pulang ke rumah jika mahu ke sekolah berjumpa rakan,” kata Rohani, 36, (bukan nama sebenar) ibu kepada seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang terputus sebahagian kemaluan ketika berkhatan beramai-ramai, 8 Disember lalu.

Kanak-kanak itu sepatutnya mendaftarkan diri bagi memasuki tahun enam sesi 2019 di Shah Alam, semalam dan bakal menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.

Bagaimanapun, dia terpaksa menangguhkan dulu hasratnya ke sekolah kerana masih dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan pada masa sama, perlu menjalani beberapa pembedahan lagi termasuk pembedahan kelima yang dijadualkan hari ini.

Menurut Rohani, anak sulungnya itu baru selesai menjalani pembedahan keempat, kelmarin.

“Sebelum masuk ke dalam bilik pembedahan, anak saya menyatakan rasa kesal terhadap apa yang berlaku sehingga membuatkan dia terpaksa menanggung kesakitan.

“Malah, dia juga trauma untuk menjalani pembedahan keempat itu dan saya tidak tahu macam mana dia nak melalui pembedahan kelima nanti.

“Kami dimaklumkan pembedahan yang kelima akan dilakukan esok (hari ini) bagi melakukan tampalan dengan mengambil kulit di bahagian paha bagi menggantikan sebahagian tisu yang mati,” katanya ketika ditemui.

Ibu kepada empat anak itu turut melahirkan kerisauan terhadap anak sulungnya yang bakal menduduki UPSR kerana bimbang pelajarannya terjejas berikutan insiden berkenaan.

“Kami tidak tahu berapa lama lagi dia perlu menjalani rawatan dan segala persiapan persekolahannya juga tidak sempat dilakukan buat masa ini.

“Lebih menyedihkan apabila anak perempuan saya tidak dapat merasai pengalaman pertama ke sekolah hari ini (semalam). Anak kedua saya itu yang berusia tujuh tahun sepatutnya mendaftar tahun satu tetapi kami tidak dapat menghantarnya ke sekolah buat masa ini kerana perlu menumpukan perhatian untuk menjaga abangnya yang masih terlantar di wad.

“Malah, semua anak saya juga terpaksa dibawa ke HKL kerana kami menghadapi kekangan kewangan untuk berulang-alik dari kediaman kami di Shah Alam ke hospital, selain perlu menyediakan perbelanjaan keperluan harian anak sulung di wad,” katanya.

Jelasnya, disebabkan kekangan kewangan itu keluarganya tidak dapat menyediakan kelengkapan sekolah untuk semua anaknya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 January 2019 @ 10:00 AM