AWI memberi kata semangat kepada isterinya, Mariyam Natasya sebelum kejohanan bermula.
Redzuan Muharam
redzuan.muharam@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Empat kali kecederaan dialami di hidung akibat serangan lawan ketika beraksi di gelanggang sedikit pun tidak mematahkan semangat Ahmad Syairawi Ab Rahim, 31, untuk terus aktif dalam sukan muay thai.

Ahmad Syairawi atau lebih dikenali dengan gelaran Awi Tok Sheikh menganggap apa yang berlaku itu sebagai cabaran dalam sukan tempur terbabit yang diceburinya sejak sembilan tahun lalu.

Menurutnya, sebelum menceburi muay thai, dia terlebih dulu aktif dalam seni silat, namun keinginannya untuk mencuba mendorongnya beralih kepada sukan yang berasal dari Thailand itu.

“Mulanya saya tidak tahu mengenai muay thai tetapi tertarik mempelajari seni bela diri itu selepas melihat video dikongsikan rakan.

“Secara kebetulan saya mempunyai rakan yang berpengalaman dalam sukan berkenaan, jadi saya minta bantuannya untuk mengajar teknik asas selain ke Bangkok bagi menimba ilmu daripada peninju muay thai, Buakaw Banchamek serta menonton video perlawanan jaguh terkenal muay thai di YouTube untuk melihat gambaran sebenar corak permainan.


AKSI Awi ketika menentang lawannya di gelanggang kejohanan muay thai.

“Bagi mendapatkan pengalaman di gelanggang pula, saya beranikan diri menyertai Kejohanan Tomoi sempena sambutan Hari Sukan Negara di Putrajaya pada 2010 dan percubaan itu berhasil menerusi kemenangan sulung dalam kategori Flyweight,” katanya yang juga pemilik pusat gimnasium, CTR 313 Muay Thai Gym di Wangsa Maju di sini.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, ibunya, Datuk Paduka Siti Hajar Ilias Khan, 61, agak keberatan untuk mengizinkannya menyertai sukan berkenaan kerana bimbang dengan risiko kecederaan serius yang mungkin dialami ketika menentang lawan di dalam kejohanan.

Namun Awi tidak berputus asa sebaliknya berusaha meyakinkan keluarga bahawa dia serius dalam sukan berkenaan menerusi kejayaan yang diraihnya apabila menyertai kejohanan.

“Ibu bukan menghalang, cuma dia bimbang sekiranya berlaku kejadian tidak diingini tetapi kini persepsinya berubah malah dia yang banyak memberi galakan untuk saya menyertai kejohanan.

“Selain ibu, isteri saya, Mariyam Natasya Zamri turut menjadi pendorong untuk saya terus aktif sehingga kini.

“Lebih menyeronokkan apabila saya dapat melatih isteri dan siapa sangka, dia kini berada di kedudukan ketiga dalam senarai peninju wanita terbaik tempatan walaupun dulunya tidak aktif bersukan,” katanya yang mempunyai seorang anak berusia empat tahun.

Awi berkata, sehingga kini dia merangkul kejuaraan dalam 54 daripada 61 kejohanan disertainya dan berazam mencipta lebih banyak kejayaan pada tahun ini.

Malah, dia turut memasang impian untuk bergelar peninju terbaik dunia walaupun sedar bukan mudah mencapai sasaran itu.

“Jujurnya bukan mudah untuk mengekalkan momentum dalam sukan ini tetapi saya jadikan disiplin sebagai kunci utama kejayaan dengan berlatih secara konsisten serta berusaha memperbaiki mutu permainan tidak kira selepas menang atau kalah dalam satu-satu kejohanan,” katanya yang turut menjadi jurulatih peribadi muay thai untuk beberapa selebriti tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 January 2019 @ 7:59 AM