ASRUL Azhar Md Noor menggunting rambut di pekan Masjid Tanah.
Hassan Omar
cnews@nstp.com.my


ALOR GAJAH: Hanya RM1 untuk menggunting rambut, khusus untuk murid dan pelajar yang bakal memulakan sesi persekolahan pada Rabu ini.

Menerusi bayaran serendah itu, ibu bapa boleh membawa seramai anak mereka untuk mendapatkan perkhidmatan yang disediakan empat tukang gunting daripada Barbershop di pekan Masjid Tanah di sini, semalam.

Program anjuran bersama Pertubuhan Generasi Baru Melaka (PGBM) dan Pejabat Ahli Parlimen Alor Gajah itu antara lain bertujuan membantu membantu ibu bapa yang membuat persiapan persekolahan anak masing-masing.

Pengerusi PGBM, Mohd Hanif Md Noor, 29 berkata, seramai 150 murid dari sekitar pekan dan kampung berhampiran mendaftar untuk menggunting rambut bermula jam 10 pagi hingga 6 petang.


IBU bapa tidak melepaskan peluang mendaftar anak mereka untuk menyertai program gunting rambut di Masjid Tanah.

“Alhamdulillah, program ini mendapat sambutan baik daripada ibu bapa yang tidak mahu melepaskan peluang mendapatkan perkhidmatan dengan bayaran hanya RM1 bagi memastikan anak mereka berambut pendek dan kemas menjelang pembukaan sesi persekolahan,” katanya ketika ditemui di Masjid Tanah Sentral di sini.

Bapa, Azmi Abdul Latif, 48, berkata, dia mendaftarkan tiga anaknya masing-masing Mohd Haziq berusia sembilan tahun, Mohd Danial, 12, dan Mohd Ajwad, 14, untuk menggunting rambut.

“Kalau gunting di kedai, satu kepala tidak kurang daripada RM8, tetapi dengan menyertai program ini, hanya RM3 diperlukan untuk memastikan rambut anak saya pendek,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 January 2019 @ 7:58 AM