Lana terharu mendengar suami azan anak. FOTO Instagram Lana Nordin
Sudirman Mohd Tahir
sduirman@hmetro.com.my


PELAKON Lana Nodin memilih nama William Daud Mckienzie untuk bayi lelakinya yang dilahirkan pada 22 November lalu.

Lana, 38, atau nama sebenarnya Mazlina Hasan Nodin berkata nama itu dipilih untuk mengabadikan nama bapa mentuanya iaitu William Mckienzie sudah meninggal dunia.

"Selepas sebulan bersalin baru saya sedia berkongsi berita kelahiran anak kedua ini. Ia atas permintaan suami.

"Kami sepakat memilih nama ini kerana anak kami adalah waris keempat keluarga William. Ia sesuatu yang sangat bermakna.

"Kehadiran William juga menjadi pelengkap dalam keluarga bahagia kami selepas kelahiran anak perempuan, Gia Quinn Mckienzie yang kini berusia tiga tahun," katanya.

Berkongsi detik kelahiran itu, Lana meluahkan rasa sedih kerana tidak dapat bersalin secara normal.

Menurut Lana, bayi yang dilahirkan seberat 4.15 kilogram.

"Kalau boleh memang saya nak bersalin normal macam yang pertama. Tetapi, doktor memaklumkan keadaan bayi dalam kandungan besar.

"Sekiranya saya teruskan hasrat itu, dibimbangi akan memudaratkan bayi. Jadi, saya ikut saja nasihat yang terbaik daripada doktor.

"Sepanjang proses itu, suami ada menemani saya. Dia tengok sendiri saya bertarung nyawa hingga selamat bersalin," katanya.

Lana turut meluahkan rasa sebak apabila melihat suaminya, Mohd Daud McKienzie menggalas tanggungjawab mengazankan anak mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Disember 2018 @ 5:32 PM