MOTOSIKAL Kawasaki Z800 yang dilarikan seorang lelaki yang kononnya mahu menyewa kenderaan itu. FOTO Ihsan Mohd Tasdiqi
Hasbi Sidek
cnews@nstp.com.my


LELAKI bertindak melarikan motosikal Kawasaki Z800 dengan memperdaya pemilik kenderaan kononnya mahu menyewa motosikal berkuasa tinggi itu dan mendakwa bayaran sewa sudah dilunaskan melalui transaksi atas talian, dalam kejadian kira-kira 6 petang, semalam.

Malah, lelaki berkenaan turut menggunakan gambar kad pengenalan dan lesen memandu palsu untuk diserahkan kepada pemilik motosikal berkenaan sebagai usaha meyakinkan pemilik motosikal.

Pemilik motosikal, Mohd Tasdiqi Mohamad, 29, berkata, lelaki berkenaan mahu menyewa motosikal untuk berkonvoi ke majlis perkahwinan di hotel di Shah Alam dan akan berkumpul di kondominium di Bukit Jalil.

“Lelaki itu mahu menyewa motosikal dari 6 petang hingga 10 malam untuk berkonvoi ke majlis perkahwinan rakannya dan dia meminta saya menghantarnya di kondominium di Jalan 1/155b, Bandar Bukit Jalil, Kuala Lumpur, petang semalam.

“Ketika tiba di pondok pengawal kondominium berkenaan, lelaki berkenaan sudah tiba kononnya sedang menunggu rakannya yang lain kerana mendakwa konvoi akan bermula di kawasan itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Tasdiqi berkata, ketika berurusan, lelaki berkenaan meminta pembayaran sebanyak RM450 dibuat menggunakan perbankan atas talian sebelum Mohd Tasdiqi bersetuju.


RESIT transaksi bank yang disunting suspek bagi menyakinkan pemilik motosikal bayaran sudah dibuat. FOTO Ihsan Mohd Tasdiqi

“Dia mendakwa sudah membuat pembayaran (instant tranfer), namun ketika membuat semakan, saya mendapati tiada sebarang transaksi masuk ke akaun menyebabkan saya musykil sebelum saya meminta salinan Mykad dan lesen memandunya.

“Lelaki itu mendakwa Mykadnya berada di rumahnya di kondominium itu, sebelum berpura-pura mahu mengambilnya, namun secara tiba-tiba dia memberikan gambar Mykad dan lesen memandu yang disimpan di dalam telefon bimbitnya.

“Untuk meyakinkan saya kerana wang yang dipindahkan belum masuk ke akaun, dia menyerahkan gambar lesen dan nombor telefon isterinya sebagai penjamin. Saya menyerahkan motosikal dan beredar dari lokasi,” katanya.

Menurut Mohd Tasdiqi, dia kemudiannya menghubungi pihak bank sebelum memaklumkan transaksi yang digunakan adalah ‘IBG Transfer’ (interbank giro) dan bukannya ‘instant transfer’.

“Saya kemudiannya berpatah balik ke kondominium berkenaan dan pengawal keselamatan mendakwa lelaki berkenaan keluar semula sebaik saya beredar dari lokasi. Saya syak ada sesuatu yang tidak kena dan membuat laporan polis.

“Pihak polis yang menyemak Mykad dan lesen lelaki berkenaan mendapati nombor kad pengenalan dan alamat pada kedua-dua dokumen itu dipalsukan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa dan sedang mengesan suspek untuk siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Disember 2018 @ 2:14 PM