KELUHAN wanita seperti yang tular di Facebook berhubung isu tempahan dewan majlis perkahwinannya pada tarikh yang sama dengan hari pengundian PRK Cameron Highlands. FOTO Facebook
Amin Ridzuan Ishak

“SEMUA sudah selesai dan saya berterima kasih kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang memberikan sedikit sumbangan untuk meringankan beban bagi menanggung kerugian kerana perlu mengubah tarikh perkahwinan," kata Syazleen Anisa Misria.

Luahan jurutera berusia 25 tahun di laman Facebook (FB) rasmi SPR, Rabu lalu mendapat perhatian ramai yang kecewa kerana tarikh Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands ditetapkan pada 26 Januari tahun depan iaitu tarikh perkahwinannya bersama jejaka pilihannnya dikenali Muhamad Harith.

Ini kerana dewan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ahmad Shah, Tanah Rata yang ditempahnya sejak enam bulan lalu untuk majlis perkahwinannya akan digunakan sebagai pusat pengundian untuk PRK Cameron Highlands.

Syazleen Anisa Misria yang berasal dari Taman Lily berkata, mereka sekeluarga sudah mengadakan perbincangan dan bersetuju untuk meminda tarikh pernikahannya kepada 18 Januari dan persandingan pada keesokan harinya.

"Sepatutnya saya bernikah pada 25 Januari dan bersanding pada 26 Januari, tetapi ia terpaksa diubah kerana bertembung pula dengan tarikh pilihan raya kecil... kami bimbang sekiranya diadakan pada 26 Januari, susah orang hendak datang kerana berlakunya kesesakan jalan raya berikutan bertembung dengan pilihan raya.

"Apabila tarikh diubah, kesan lain juga ada kerana jurugambar tidak dapat memenuhi permintaan saya kerana ada tuntutan kerja lain pada 19 Januari, begitu juga dengan jurumekap dan syarikat katering.

"Ramai hendak berkahwin pada 19 Januari kerana 'tarikhnya cantik' iaitu 19 Januari 2019, jadi agak sukar untuk mencari pengganti jurugambar, jurumekap dan syarikat katering... harap semuanya dipermudahkan untuk mencarinya dalam masa singkat," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya, wakil daripada SPR di Cameron Highlands ada menghubungi keluarganya untuk membantu mereka selepas membaca luahannya di FB SPR dan perbincangan dilakukan untuk menyelesaikan masalah itu.

"Semua sudah selesai dengan baik dan SPR ada memberikan sedikit bantuan bagi mengurangkan beban kerugian kami alami kerana mengubah tarikh perkahwinan.

"Fokus kami sekarang adalah untuk melancarkan majlis dan memenuhi keperluan antaranya tempat tinggal keluarga dari luar Cameron Highlands yang tempahan sebelum ini terpaksa dibatalkan," katanya.

PRK Cameron Highlands diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan calon Barisan Nasional (BN), Datuk C Sivarraajh pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) terbatal dan tidak sah selepas memutuskan berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

Pada PRU-14, Sivarraajh yang juga Naib Presiden MIC menang di kerusi Parlimen Cameron Highlands membabitkan saingan lima penjuru dengan majoriti 597 undi.

SPR menetapkan PRK Parlimen Cameron Highlands diadakan pada 26 Januari tahun depan, manakala penamaan calon ditetapkan pada 12 Januari dan tarikh mengundi awal pada 22 Januari.

Sebanyak 32,009 pemilih layak mengundi bagi PRK itu mengikut daftar pemilih sehingga suku ketiga 2018 yang dikemaskini pada November lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Disember 2018 @ 2:40 PM