GAMBAR menunjukkan Pipatpongpat (dalam bulatan) membonceng motosikal untuk melarikan diri. Gambar kecil, Pipatpongpat. - Agensi
Agensi

BANGKOK: Seorang pencuri membuat perancangan rapi dengan menghiasi sebuah kedai emas palsu semata-mata untuk memperdaya seorang ahli perniagaan sebelum mencuri satu berlian berharga 10 juta baht (RM1.3 juta) milik mangsa.

Pencuri berkenaan, Pipatpongpat Suksawatpipat, 59, sebenarnya adalah bekas peniaga emas berjaya tetapi jatuh muflis kerana berjudi.

Beberapa bulan lalu, Pipatpongpat bertemu seorang peniaga emas warga India dan mula membuat rancangan itu selepas mengetahui lelaki berkenaan mahu menjual satu berlian berharga.

Bangkok Post yang memetik sumber polis memberitahu, dengan sumber kewangan yang terhad, Pipatpongpat berjaya membuat rancangan rapi untuk mencuri berlian berkenaan.

Dalam tempoh satu minggu, Pipatpongpat menyewa sebuah kedai di Jalan Sriphaya di Bangkok dan mengubahsuainya supaya kelihatan seperti sebuah kedai emas.

Pipatpongpat juga menggantikan kunci pada pintu kaca di premis itu dengan kunci automatik sebelum mengupah seorang pekerja warga Kemboja untuk membantunya melarikan diri dengan motosikal.

Selepas semuanya selesai, Pipatpongpat menghubungi ahli perniagaan India itu memberitahu dia mahu membeli berlian berkenaan dan menjemputnya datang ke kedai emasnya untuk memeriksa barangan kemas itu.

Ahli perniagaan itu yang percaya dengan Pipatpongpat datang ke kedai emas berkenaan bersama seorang rakannya pada Jam 3 petang (waktu tempatan) Selasa lalu.

Apabila mangsa menyerahkan berlian itu, Pipatpongpat membawa barangan kemas berkenaan keluar dengan alasan untuk melihat di bawah cahaya matahari tetapi dia segera menutup pintu kedai berkenaan dan terus melarikan diri dengan pekerja Kemboja yang diupahnya.

Bagaimanapun, Pipatpongpat tidak bernasib baik apabila dia akhirnya ditangkap polis di Chanthaburi pada Jumaat lalu ketika cuba masuk ke Kemboja bersama isterinya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Disember 2018 @ 6:30 AM