DR Mahathir dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah mengaminkan doa ketika menziarahi jenazah Muhammad Adib di Pengkalan Udara Bomba dan Penyelamat Subang.

KUALA LUMPUR: “Pemergianmu diiringi sejuta tangisan dan doa. Kami tidak mengenali dan mengetahui siapa dirimu namun namamu tetap akan diingati seluruh rakyat Malaysia.”

Itu antara komen netizen daripada pelbagai latar belakang dan lapisan masyarakat di negara ini yang meratapi kesedihan pemergian anggota bomba Muhammad Adib Abd Kassim selepas 20 hari bertarung nyawa di Institut Jantung Negara.

Rata-rata netizen melahirkan rasa simpati dan sedih terhadap keluarga, tunangnya Nurul Najihah Mohd Radzi, 25, serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di atas dugaan yang begitu berat mereka pikul membabitkan kehilangan Muhammad Adib.

Netizen Rozilawati Abdul memaklumkan 2018 adalah tahun yang mencabar dan memilukan bagi JBPM apabila diduga dengan pelbagai kejadian tidak diingini.

“2018 adalah tahun yang menyedihkan bagi JBPM. Dia (Allahyarham) sepatutnya melangsungkan perkahwinan minggu ini dan berharap tunangnya kuat dan terus bersabar dengan dugaan,” katanya.

Berita menyedihkan itu turut menyebabkan pemilik akaun Facebook Nur Zila mengalirkan air mata hingga menganggap kehilangan Muhammad Adib seperti kematian ahli keluarga sendiri.

“Walaupun tak mengenali Adib namun pemergiannya seperti kehilangan ahli keluarga sendiri. Semoga roh beliau dicucuri rahmat,” katanya.


ORANG ramai menghadiri majlis pengkebumian Muhammad Adib di Tanah Perkuburan Islam Masjid As-Saadah, Kampung Tebengau.

Bagi Mohd Faizul Cg Joe, penghujung 2018 begitu menyedihkan untuk seluruh negara apabila rakyat menerima perkhabaran tidak terduga itu secara mengejut.

“Hari yang suram buat negara Malaysia. Al fatihah semoga arwah Muhammad Adib ditempatkan dikalangan orang yang beriman..Allahuakbar,” katanya.

Sementara itu, Suresh Nair juga berkongsi kesedihan seterusnya berdoa semoga roh Muhammad Adib tenang dan diberikan pembelaan sewajarnya.

“Semoga rohnya tenang dan keadilan yang telus perlu diberikan kepada hero muda berkenaan yang sanggup mengorbankan nyawa demi melaksanakan tugas,” katanya.

Jessica Jesi turut menyatakan kesedihan di atas pemergian Allahyarham dengan menyifatkan ia dirasai oleh semua kaum di Malaysia kerana individu yang tidak bersalah menjadi mangsa kepada persengketaan.

“Semoga rohnya tenang…semua kaum rasa sedih dengan pemergian Adib dan berharap individu bertanggungjawab ditahan segera,” katanya.

Lagi berita berkaitan Allahyarham Muhammad Adib

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Disember 2018 @ 8:28 AM