LAPORAN Harian Metro, kelmarin.
Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Kanak-kanak berusia 11 tahun yang terputus sebahagian kemaluan sewaktu berkhatan pada 8 Disember lalu menjalani pembedahan plastik di Hospital Kuala Lumpur (HKL), semalam.

Ibunya yang mahu dikenali sebagai Rohani (bukan nama sebenar), 36, berkata, anak sulung daripada empat beradik terbabit terpaksa menjalani pembedahan plastik apabila terdapat tisu mati selepas pembedahan sambungan bahagian alat sulit yang terputus dilakukan sebelum ini.

“Doktor maklumkan pembedahan sambung sebelum ini berjaya, tetapi terdapat 30 peratus tisu mati.

“Jadi pembedahan plastik dilakukan untuk buang tisu yang mati itu.

“Anak dimasukkan ke bilik bedah pada jam 9 pagi dan proses pembedahan plastik mengambil masa selama dua jam lebih.

“Keadaannya kini dilaporkan stabil dan sudah mula sedar selepas menjalani pembedahan berkenaan.

“Bagaimanapun kami perlu menunggu maklumat daripada pihak pakar bagi mengetahui perkembangan anak selepas menjalani pembedahan itu dan kemungkinan ada pembedahan ketiga,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Isnin lalu Harian Metro melaporkan kanak-kanak malang itu terputus sebahagian kemaluannya ketika menyertai majlis berkhatan beramai-ramai di Shah Alam, Selangor, 8 Disember lalu.

Kejadian itu menyebabkan kanak-kanak terbabit dirawat di HKL dan menjalani pembedahan bagi menyambung bahagian kemaluannya yang terpotong.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Disember 2018 @ 8:18 AM