PENYANYI, Elica. FOTO Aziah Azmee
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


KEGAGALAN single pertama, Bila Nanti yang dilancarkan tahun lalu membuatkan juara program Mentor Milenia 2017, Elica mengambil keputusan untuk berehat seketika daripada industri muzik.

Elica, 19, atau nama sebenarnya Angelica Paujin berkata, dia berehat di kampung halaman di Tambunan, Sabah selain mencari genre muzik yang sesuai untuknya.

Menurut Elica, sepanjang hampir setahun senyap, timbul kebimbangan dalam diri sekiranya peminat melupakannya atau menganggap dia sudah berhenti menyanyi.

Disebabkan itu, Elica yang kini bernanung di bawah syarikat pengurusan Rhyme & Rhythm Music Entertainment milik pasangan penyanyi Akim dan Stacy mengambil inisiatif dengan menghasilkan single baru berjudul Kau Lah!

Jauh di sudut hati Elica, dia mengharapkan lagu berentak pop dance ciptaan Hang Nadim dan Laq itu menjadi dan membawa tuah untuknya, sekali gus dapat menempa nama seperti mentornya, Akim dan Stacy.

“Sebenarnya saya lebih menyukai genre sebegini yang energetik. Jika dibandingkan dengan lagu pertama berentak balada, saya berasakan lagu ini lebih sesuai untuk saya.

“Pemilihan genre ini adalah hasil perbincangan bersama syarikat pengurusan. Memandangkan single pertama kurang menyerlah, jadi kami perlu mencari muzik yang lebih segar dan mudah untuk diterima pendengar.

“Mungkin ketika lagu pertama banyak kelemahan seperti kurang persediaan dan promosi hingga ramai tak tahu lagu ini. Jadi, apabila lagu kedua dilancarkan baru-baru ini, saya kena all out dari segi promosi di semua platform media sosial dan media massa,” katanya.

Pada masa sama, Elica masih mampu menarik nafas lega apabila kemunculan lagu kedua itu ditunggu-tunggu peminat.

Malah, kebanyakan komen diterima adalah positif selain mengharapkan Elica akan terus menyanyi tanpa mengenal erti putus asa.

“Saya sangat gembira apabila single kedua ini mendapat maklum balas baik. Lebih terharu kerana mereka masih ingat dan menyebut-nyebut nama saya.

“Walaupun pada masa sama saya kena bersaing dengan penyanyi muda lain yang lebih popular, saya nekad akan terus berjuang. Kehadiran Akim dan Stacy sedikit sebanyak memberikan saya semangat dan mudah untuk saya meminta tunjuk ajar,” katanya.

Pun begitu, Elica tidak mahu mengambil kesempatan di atas populariti pasangan suami isteri itu.

“Walaupun mereka adalah majikan dan sifu saya, saya tak nak bergantung sepenuhnya dengan mereka. Jauh sekali nak menumpang populariti mereka. Cukup sekadar mereka memberikan tunjuk ajar.

“Saya memasuki bidang ini kerana mahu menonjolkan bakat dan kemampuan diri. Mungkin rezeki belum berpihak kepada saya, tetapi ia bukan alasan untuk mengalah.

“Dalam bidang ini ramai penyanyi yang mencipta nama agak lambat. Namun, mereka tetap terus berjuang. Hasilnya, mereka berada di kedudukan yang selesa sekarang. Apa pun, segalanya bergantung kepada rezeki,” katanya.

Akan terus hasil single

Selepas single kedua ini, Elica sudah merancang menghasilkan single ketiga dan seterusnya.

“Tahun depan saya akan hasilkan single lain juga. Memang dalam perancangan nak hasilkan seberapa banyak lagu. Ini kerana kita tak tahu tuah sesebuah lagu.

“Kalau bukan lagu ini, mungkin lagu ketiga atau seterusnya. Apa yang penting, saya tak nak berhenti berkarya. Biar nama saya orang akan terus ingat,” katanya.

Ditanya mengenai cabang seni lain, Elica mengakui kini fokus pada bidang nyanyian saja.

“Sejujurnya, saya tak minat berlakon. Biar mereka yang lebih layak berada dalam bidang itu. Saya masih mahu memberi fokus kepada bidang nyanyian.

“Cuma, kalau ada tawaran yang sesuai dan kena dengan watak pada masa akan datang, saya tak akan menolak. Saya boleh cuba perlahan-lahan. Cuma, buat masa sekarang biar orang mengenali saya dulu sebelum mencuba bidang lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Disember 2018 @ 6:00 AM