GAMBAR hiasan
Muhammad Mustakim Ramli
m.mustakim@nstp.com.my


NAFSU syaitan lelaki yang sanggup merogol adik isterinya yang baharu berusia 12 tahun awal bulan lalu, akhirnya terbalas apabila dia ditahan polis dekat Kulim, hari ini.

Suspek berusia 19 tahun itu ditahan di tepi jalan di Padang Serai, Kulim, pada 5.30 petang.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superitendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, dalam kejadian pada 6 pagi, 5 November lalu, di rumah mangsa di Kulim, suspek mengajak adik iparnya menonton video lucah.

“Suspek kemudian secara tiba-tiba menarik tangan mangsa untuk masuk ke dalam bilik sebelum bertindak mencabul dan merogol mangsa.

“Selepas merogol, suspek juga mengugut untuk mencekik leher mangsa dan akan membawa mangsa lari sekiranya memberitahu kepada sesiapa tentang kejadian berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ahmad Nasir berkata, mangsa kemudian memaklumkan kejadian berkenaan kepada ahli keluarganya sebelum membuat laporan polis.

“Suspek yang melarikan diri sejurus kejadian berjaya ditangkap petang tadi, selepas usaha mengesannya dilakukan polis.

“Suspek kini ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol bawah umur,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Disember 2018 @ 9:53 PM