MOHD KAZIM ELIAS
Nor Akmar Samudin
akmar@nstp.com.my


KUALA LUMPUR: Penceramah, Ustaz Ahmad Dusuki yang tersenarai dalam nama 10 pendakwah yang tidak digalakkan berceramah di televisyen dan radio mulai Januari tahun hadapan tidak pasti siapa keluarkan arahan terbabit.

Dia yang dihubungi semalam bagi mengulas senarai nama yang tular di media sosial sejak kelmarin itu berkata, pihaknya juga tidak pasti siapa yang keluarkan senarai nama penceramah berkenaan.

“Saya dan penceramah lain yang terbabit dalam tersenarai itu menganggap perbuatan itu adalah daripada ‘tangan-tangan nakal’ dan kami tidak anggap ia serius.

“Dakwah kami berterusan, tidak takut atau gentar dengan apa yang berlaku.

“Lagipun ruang dakwah tidak terikat dengan televisyen dan radio saja kerana ruang dakwah juga boleh disampaikan secara terbuka menerusi dunia siber multimedia.

“Kalau perkara itu arahan daripada pihak berkuasa, kami rasa itu satu cara untuk mengekang tetapi dakwah itu bagaikan air yang turun dari gunung yang tiada siapa dapat menyekat kecuali datangnya daripada Allah SWT,” katanya.


AHMAD DASUKI

Selain dirinya, pendakwah atau penceramah lain yang tersenarai termasuk Datuk Mohd Kazim Elias, Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Shamsul Debat, Datuk Dr Ustazah Norhafizah Musa, Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim (PU Amin) dan Ustaz Azhar Idrus.

Kata Ahmad Dasuki: “tangan nakal itu sama ada mahu memprovokasi kami kerana mungkin mereka ingin tahu sentimen masyarakat jika kami ditahan”

Katanya, pihaknya setakat ini masih tidak menerima sebarang surat atau arahan rasmi daripada pihak berkuasa,” katanya.

Jelas Ahmad Dasuki, sebelum ini ada dua tiga kali beberapa nama yang dipanggil ke Forum Perdana Ehwal Islam yang bersiaran di TV1 yang dibatalkan pada saat akhir tetapi kata beliau, mereka anggap ia adalah kelemahan pihak tertentu.

“Kami akan terus berdakwah dan selepas berbincang dengan penceramah yang lain, kami ambil pendirian tunggu dan lihat,” katanya.

PU Amin pula berkata, dia tidak faham kenapa namanya turut tersenarai kerana tidak pernah komen atau terbabit dalam politik sama ada kerajaan baru atau pembangkang.

“Sasaran dakwah saya adalah golongan selebriti dan saya bercakap mengenai LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) selepas keluar kenyataan yang ia tidak diterima di Malaysia. Jadi dasar itulah yang saya perjuangkan.

“Apabila berceramah saya banyak merujuk kepada jabatan agama dan pihak berkuasa.

“Sedikit-sebanyak perkara ini memberi kesan kepada rutin dakwah saya apabila ada beberapa pihak yang bertanya adakah perkara itu betul dan ada perancangan yang terganggu,” katanya.

Menurutnya, dia bukanlah pendakwah ‘bidan terjun’ kerana beliau berkelulusan daripada Universiti Al-Azhar.


AZHAR Idrus (kiri) antara nama yang tersenarai dalam nama 10 pendakwah yang tular.

Mohd Kazim pula berkata, dia tidak tahu siapa yang mengeluarkan senarai nama penceramah berkenaan.

“Apa salah saya sehingga dilarang berceramah di televisyen dan radio kerana saya bukannya menyentuh isu politik,” tegas penceramah bebas, Datuk Ustaz Mohd Kazim Elias berkenaan tular 10 nama penceramah yang tidak digalakkan berceramah menerusi televisyen dan radio mulai tahun hadapan.

Kata Kazim, sebelum ini, beliau pernah menolak tawaran kerajaan terdahulu  yang mahu melantiknya sebagai ahli majlis tertinggi dalam parti dan bertanding pada pilihan raya umum.   

“Saya bukan orang politik dan sebab itu saya tak faham kenapa nama saya berada dalam senarai yang tular. Ramai rakan-rakan penceramah turut bertanya kepada saya.   

“Dalam senarai itu, saya lihat semua penceramah adalah nama-nama besar dan satu kerugian kepada masyarakat Islam jika benar mereka tidak dibenarkan keluar di televisyen dan radio. 

“Jika mereka tidak boleh berceramah di televisyen ia turut memberi kesan kepada penajaan kerana tiada penonton yang mahu melihat program terbabit,” katanya dihubungi semalam.

Menurut Kazim, memang beliau dan penceramah lain boleh berdakwah menerusi medium media sosial tetapi televisyen adalah medium tradisional yang dekat di hati penonton.


MUJAHID YUSOF RAWA

Mujahid nafi ada sekatan

IPOH: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof menafikan dakwaan yang tular di media sosial, pihaknya menyekat penceramah tertentu untuk berceramah di televisyen dan radio.

Sejak kelmarin, tular senarai 10 penceramah yang tidak digalakkan berceramah di televisyen dan radio mulai Januari tahun depan antaranya Ustaz Ahmad Dusuki, Datuk Ustaz Mohd Kazim Elias dan Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah.

Dr Mujahid berkata, pihaknya tidak menyekat mana-mana penceramah, cuma selama ini menasihatkan penceramah atau pendakwah yang hendak muncul di televisyen dan radio supaya memahami tiga teras iaitu Rahmatanlil a’lamin, Maqasid Syariah dan modul Malaysia.

“Maknanya dalam apa juga mereka sampaikan selagi tidak bercanggah tiga perkara ini, kita alu-alukan. Kita bukan hanya nak sekat orang kerana tidak suka pada dia tetapi lebih kepada melihat content (kandungan).

“Tetapi setakat soalan mengenai list (senarai) secara rasmi disebut orang begini, jangan diberi ruang. Setahu saya daripada pejabat saya tidak ada. Kalau dia tular untuk timbul keraguan atau provokasi, saya tidak tahu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Disember 2018 @ 8:21 AM