MOHD Azam (dua dari kiri) dan Nor Farizan (kanan sekali) bersama dua militan Syria yang mengawal keselamatan Kem Zamkaa di Qabasin, Syria.
Wartawan Mohd Azam Shah Yaacob dan Jurugambar Nor Farizan Abdull Rahman melaporkan dari Syria

QABASIN: Militan Daish kejam, tentera Bashar Al Assad pula zalim dan tidak berperikemanusiaan.

Peperangan antara dua kumpulan itu bukan sekadar ‘pertunjukan’ kekuatan mengenai siapa lebih hebat, sebaliknya disifatkan sebagai satu ‘permainan’ pembunuhan bagi membuktikan siapa lebih berkuasa.

Ini kerana setiap kali dua kumpulan itu mula berperang, mereka akan menyasarkan tembakan serta bedilan roket dan bom di kawasan tempat tinggal penduduk menyebabkan ramai yang maut.

Kedua-dua kumpulan bersenjata itu menjadi punca ramai rakyat Syria hidup menderita kehilangan orang tersayang, cacat seumur hidup, hilang tempat tinggal dan harta-benda sehingga memaksa jutaan daripada mereka menjadi pelarian di negara sendiri.

Antara menjadi mangsa kekejaman itu adalah Issam Omar, 41, yang kehilangan dua adik lelaki akibat terkena bedilan roket dalam serangan serentak oleh tentera Bashar dan militan Daish di Idlib, pada September 2017.

Malah, 11 lagi saudara maranya hilang tanpa dapat kesan sehingga kini dipercayai maut dalam serangan tentera Bashar dan militan Daish di wilayah As Suwayda awal tahun ini.

Sebelum itu, pada 2011, bapanya maut ditembak tentera Bashar ketika menyertai demonstrasi jalanan di Idlib bagi menuntut hak untuk bersuara.

Issam berkata, kematian bapanya serta ratusan penduduk menyebabkan dia menyertai puak penentang bersama rakyat Syria lain bagi mempertahankan diri daripada serangan tentera Bashar.

Katanya, pada awalnya mereka mengumpul senjata biasa seperti pistol dan senapang patah lazimnya untuk tujuan perburuan.

“Ketika itu (2011), setiap kawasan di Syria mula menubuhkan pasukan pejuang sendiri bagi menentang tentera Bashar dan saya juga ikut serta.

“Selepas itu, tentera Bashar yang membelot terdiri daripada penganut Sunni menubuhkan Tentera Pembebasan Syria (FSA),” katanya ketika ditemui di Kem Zamkaa dalam misi kemanusiaan Bantuan Musim Sejuk Syria Care 7.0 diketuai Pengerusinya, Siti Sakinah Meor Omar Baki, semalam.


MOHD Azam bersama Issam (kanan) yang kini berkhidmat di bawah seliaan tentera Turki.

Menurut Issam, keadaan di Syria bertambah buruk apabila militan Daish muncul di negara itu sekitar 2013.

Katanya, ini kerana setiap kali pertembungan dua kumpulan bersenjata itu, peperangan selalunya berlaku di kawasan kediaman penduduk.

“Apabila mereka berperang, mereka muncul di dua arah berbeza antara kawasan tempat tinggal penduduk.

“Mereka tidak menembak arah satu sama lain, sebaliknya mereka menembak serta melancarkan roket serta bom ke arah kediaman yang terletak di tengah-tengah pertembungan mereka menyebabkan ramai penduduk mati.

“Ia seolah-olah satu permainan antara mereka bagi menunjuk siapa lebih kejam dan siapa lebih hebat,” katanya.

Issam yang kini berkhidmat di bawah seliaan tentera Turki berkata, dia menyaksikan sendiri beberapa siri serangan antara militan Daish dan tentera Bashar di kawasan Al Bab yang menyebabkan banyak bangunan rosak dan ratusan penduduk sama ada lelaki mahu pun wanita dewasa serta kanak-kanak maut.

Malah, dia bersama kumpulannya pernah menangis apabila tidak dapat membantu dan hanya mampu melihat dari jauh tentera Bashar membakar sekumpulan penduduk yang dikurung dalam sebuah rumah.

“Mayat mereka yang rentung itu kami tanam dalam satu kubur.

“Itu belum lagi mayat penduduk yang ditemui hancur akibat dibedil roket serta bom oleh tentera Bashar dan Daish selain mayat ditemui dalam keadaan kepala dipenggal, badan dengan kesan luka tikam bertubi-tubi serta dikerat-kerat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Disember 2018 @ 7:50 AM