POLIS menyiasat tempat kejadian. - EPA
Agensi

SAO PAULO: Sekurang-kurangnya empat jemaah sebuah gereja terbunuh selepas seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan di dalam gereja di selatan Brazil sebelum membunuh diri. pada akhir acara Mass, kelmarin.

Kejadian berlaku di Gereja Katolik Metropolitan di Campinas, bandar pertanian kaya yang terletak kira-kira 96 kilometer ke barat laut São Paulo. Empat orang turut cedera dalam serangan berkenaan, manakala suspek menembak kepalanya sendiri selepas cedera akibat tembakan polis.

Rakaman dari kamera keselamatan menunjukkan penembak berkenaan yang duduk bersama jemaah lain tiba-tiba berdiri dan membidik senjatanya ke arah orang ramai yang duduk di belakangnya, lapor New York Times.

Dia kemudian menembak orang ramai yang bertempiaran lari meninggalkan gereja berkenaan.

Menurut Daily Mail, pihak berkuasa mengenal pasti suspek sebagai Euler Fernando Grandolpho, 49, juruanalisis sistem dari Valinhos yang bukannya anggota jemaah gereja berkenaan.

Pihak berkuasa masih tidak mengetahui motif serangan, kata penyiasat polis Jose Henrique Ventura.

Saksi, Danielle Coutinho memberitahu EPTV dia sedang berbual selepas Mass apabila suspek tiba-tiba mula menembak.

Dia dan jemaah lain melarikan diri, namun seorang lelaki yang duduk di sebelahnya ditembak.

“Saya nampak orang ditembak. Saya tidak dapat melupakannya. Memang terlalu dahsyat,” katanya.

Penyiasat polis, Hamilton Caviola Filho berkata, penembak itu melepaskan sekurang-kurangnya 20 tembakan sebelum membunuh diri.

Brazil mempunyai kadar pembunuhan antara yang tertinggi di dunia, dan kejadian tembak berlaku hampir setiap hari di kawasan miskin.

Namun kes tembak beramai-ramai seperti itu amat jarang berlaku dan kejadian kelmarin mengejutkan rakyatnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Disember 2018 @ 6:00 AM