LAPORAN Harian Metro, 7 Disember lalu.
Yusmizal Dolah Aling
yusmizal@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Pemilik restoran makanan halal di Jepun yang tular minggu lalu bukan saja tidak memiliki pengiktirafan daripada badan pensijilan halal seperti sepatutnya, malah gagal membayar gaji cef seperti dijanjikan.

Cef terbabit, Megat Danial Aizat Megat Ariffin, 32, mendakwa dia dan beberapa lagi cef lain dibayar jauh lebih rendah daripada tawaran asal.

Katanya, dia sepatutnya menerima RM10,000 (kira-kira 350,000 yen) namun hanya dibayar RM4,000 (kira-kira 110,000 yen).

“Alasan diberikan pemilik ialah dia mahu melihat sejauh mana kami boleh bekerja sedangkan perjanjian awal tidak begitu.

“Ada rakan cef lain yang lebih lama bekerja terpaksa menuntut hak kami, barulah gaji dinaikkan sedikit. Bila ditanya, pelbagai alasan diberikan,” katanya.

Seorang lagi cef, Hafizee Ismail, 29, mendakwa bekas majikannya itu juga gagal menyediakan visa pekerja seperti sepatutnya, sekali gus meletakkan mereka dalam keadaan berisiko sepanjang berada di Osaka.

Menurutnya, setiap kali diajukan mengenai perkara itu, alasan diberikan adalah perlu menunggu selama tiga bulan dan akan diselesaikan sekembali dari Malaysia.

“Jika apa-apa terjadi dalam tempoh itu, kami tidak layak menerima sebarang pampasan. Situasi itu amat bahaya kerana kami tidak ada sebarang perlindungan,” katanya.

Khamis lalu, mereka bersama dua lagi cef membuat permohonan maaf kepada rakyat Malaysia kerana bersekongkol dengan pemilik restoran itu yang didakwa menyajikan hidangan menggunakan bahan tidak halal.

Mereka sendiri menguruskan pengambilan stok serta menghidangkan makanan menggunakan bahan didakwa tidak halal itu kepada pelanggan dari Malaysia.

Berikutan itu mereka mengambil keputusan berhenti kerja sebelum membuat aduan kepada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Susulan itu, Pengarah Bahagian Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM,) Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee mengesahkan restoran berkenaan tidak memiliki penarafan halal daripada badan pensijilan halal yang diiktiraf.

Isu berkenaan mendapat perhatian netizen yang turut berkongsi pengalaman mereka ketika berada di luar negara dan menyifatkan keempat-empat cef berkenaan mengambil langkah terpuji sehingga sanggup berhenti kerja.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Disember 2018 @ 10:30 AM