ISHA (dua dari kiri) dan bakal suaminya Anand (tiga dari kiri) bersama Ambani (kanan) serta ahli keluarganya pada majlis praperkahwinan. - Agensi
Agensi

NEW DELHI: Anak ahli perniagaan terkaya di India mencuri tumpuan apabila majlis praperkahwinannya diraikan dengan kemewahan luar biasa termasuk menjemput bintang pop, Beyonce yang diterbangkan khas untuk membuat persembahan.

South China Morning Post melaporkan, Isha Ambani, 27, yang berkahwin dengan seorang lagi anak ahli perniagaan terkaya, Anand Piramal, 33, diraikan penyanyi terkenal itu dalam konsert tertutup di Udaipur yang turut dihadiri tetamu terkenal termasuk Hillary Clinton, jutawan Arianna Huffington serta selebriti Bollywood.

Pada majlis praperkahwinan di lokasi mewah di hotel Oberoi Udaivilas itu, Beyonce menyanyikan beberapa lagu seperti Crazy in Love, Naughty Girl dan Perfect dan bertukar-tukar beberapa kostum seperti dilaporkan media India.

Kehadiran penyanyi tersohor itu sekali gus mengundang tarikan dunia terhadap perkahwinan serba mewah pasangan terbabit yang akan diadakan hujung minggu ini.


SHAH Rukh Khan dan isterinya Gauri antara yang membuat persembahan dalam acara praperkahwinan itu. - Agensi

Antara tetamu kenamaan lain termasuk pasangan pengantin baru, Nick Jonas dan Priyanka Chopra, pemain kriket India, Sachin Tendulkar, Ketua Eksekutif 21st Century Fox, James Murdoch dan bintang Bollywood yang juga pengantin baru, Ranveer Singh serta Deepika Padukone, selain Aishwarya Rai Bachcan.

Menurut Bloomberg, majlis praperkahwinan yang dijadualkan seminggu itu menelan belanja kira-kira AS$100 juta (RM418 juta).

Bapa Isha yang juga pengerusi syarikat minyak dan gas, Mukesh Ambani ialah individu ke-19 paling kaya di dunia dengan nilai kekayaan AS $43.2 bilion (RM180 bilion), lapor Forbes.

Menurut media tempatan, lebih 100 pesawat disewa khas keluarga itu untuk menerbangkan tetamu mereka dari Lapangan Terbang Maharana Pratap, Udaipur.

Sebagai tanda terima kasih, ahli perniagaan itu turut menderma makanan yang boleh menampung keperluan 5,100 orang, selain menyediakan bazar yang mempamerkan 108 lukisan tradisional India, tembikar serta karya seni tempatan.

Majlis perkahwinan pasangan itu akan diadakan di sebuah istana mewah 27 tingkat di Mumbai dan bakal pengantin berkenaan akan mendiami kediaman bertemakan permata bernilai AS $64 juta (RM267 juta) di Mumbai.


BEYONCE memuat naik gambar satu kostumnya ke media sosial. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Disember 2018 @ 6:00 AM