LAPORAN bersiri Harian Metro mengani ketirisan sistem kendalian UKSB.
Skuad Khas Harian Metro
am@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Syarikat vendor yang mengendalikan sistem atau perisian di Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan diambil alih sepenuhnya oleh kerajaan dalam tempoh dua tahun.

Sumber mendedahkan pengambil alihan itu turut membabitkan sistem eNTRI dan eVISA yang dikendalikan sepenuhnya syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) kerana kegagalan sistem diperkenalkan syarikat swasta itu dalam melakukan tapisan awal kepada kemasukan pelancong China ke negara ini.

Menjelas lanjut, sumber itu berkata, terdapat dua kriteria diumumkan Menteri Dalam Negeri (MDN) Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin semalam berhubung pembatalan pelaksanaan projek Sistem Kawalan Imigresen Nasional (SKIN) bernilai RM3.5 bilion itu.

“Pertamanya kita kategorikan sebagai goverment pay dan keduanya user pay. Bagi kaedah user pay kerajaan akan ambil alih secara berperingkat-peringkat. Bayaran pampasan akan dibuat seperti diumumkan kementerian.

“Manakala, bagi goverment pay pula, tempoh dua tahun diperlukan bagi mengintegrasikan semua sistem berkaitan. Sistem yang banyak ini akan disatukan. Ideanya adalah bagi menambah baik sistem sedia ada,” katanya.

Sumber berkata, UKSB yang sebelum ini dipertanggungjawab mengendalikan kemasukan pelancong China dan beberapa negara lain termasuk dalam kategori user pay.

“Jadi, sistem disediakan UKSB juga akan diambil alih kerajaan. Kenapa perlukan orang luar untuk kendali sistem yang langsung tidak beroleh manfaat kepada kerajaan,” katanya, idea asal KDN adalah bagi menambahbaik sistem sedia ada bagi memastikan aspek tapisan keselamatan dapat dipenuhi.

Sementara itu, Harian Metro cuba menghubungi pengurusan UKSB bagi mendapatkan maklumat sama ada KDN sudah memaklumkan keputusan terbaru, berkenaan tetapi gagal.

Ulasan akan dibuat selepas menerima komen syarikat berkaitan.

Dalam perkembangan sama, pegawai kanan di JIM pula berkata, KDN akan menamatkan kontrak semua vendor yang mengendalikan sistem di agensi berkenaan.

“Kerajaan kemudian akan melaksanakan tender terbuka kepada mana-mana syarikat untuk mengendalikan sistem sedia ada. Berkemungkinan akan ada pengendali tunggal kepada sistem di JIM. Bagaimanapun, syarikat yang memperoleh kontrak itu hanyalah menjaga sistem atau perisian namun segala urusan lain dikendalikan kakitangan JIM,” katanya.

Menjelaskan lanjut, sumber itu berkata, kini terdapat puluhan vendor yang mengendalikan sistem berkaitan JIM.

“Contohnya, biometrik, pas lawatan sosial, permit kerja dan lain-lain. Ini banyak vendor kendalikan. Jadi, dengan pengumuman kerajaan itu, semua vendor sedia ada ditamatkan (secara berperingkat). Semua sistem kemudian akan diintegrasikan,” katanya.

Harian Metro bermula 14 November lalu melaporkan kemudahan eNTRI untuk rakyat China memasuki Malaysia tanpa visa bagi tempoh 15 hari didapati tidak menepati matlamatnya sebagai satu sistem saringan atau tapisan awal, sebagaimana yang diuar-uarkan.

Sebaliknya, kemudahan itu dikesan sekadar menyalurkan wang secara mudah kepada UKSB yang diberi hak eksklusif oleh KDN untuk menguruskannya pada 2016 sehingga sekarang.

Ketirisan itu terbongkar hasil maklumat yang disalurkan kepada Harian Metro oleh sumber boleh dipercayai dan wartawan akhbar ini berada di Guangzhou, China selama beberapa hari untuk memperoleh maklumat lebih terperinci.

Susulan pendedahan KDN memaklmkan pihaknya dalam proses mengkaji semula perjanjian konsesi dengan vendor yang mengendalikan pelbagai sistem JIM termasuk sistem Visa Luar Negara (VLN).

Dalam perkembangan sama, Timbalan Pengarah Bahagian Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Hishamuddin Hisham pula menegaskan, pihaknya sedang menyiasat UKSB dan lapan kakitangan pengurusan tertinggi syarikat swasta itu sudah dipanggil untuk diambil keterangan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Disember 2018 @ 11:00 AM