ANGGOTA bomba membantu mangsa kemalangan di Kilometer 16 Jalan Lipis-Benta berhampiran Simpang Taman Jelai, Lipis, hari ini. FOTO Ihsan Pembaca
Shahrinnahar Latib
cnews@nstp.com.my


EMPAT termasuk tiga sekeluarga maut selepas kereta dinaiki masing-masing bertembung dalam kemalangan di Kilometer 16 Jalan Lipis-Benta berhampiran Simpang Taman Jelai, Lipis, hari ini.

Mangsa yang meninggal dunia ialah pemandu Proton Waja, Mukhtar Hassan, 52, dan isteri Khatijah Hussin, 61, serta cucunya, Ahmad Fakhrul Muslim Ahmad Ridhwan, 2, dari Taman Kelaboran Jaya, Tumpat, Kelantan.

Turut maut adalah pemandu Perodua Myvi yang juga anggota tentera, Muhamad Samsol Kamal Mat Arifin, 22, yang bertugas di Kem Kementah, Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Lipis Superintendan Azry Akmar Ayob berkata, dalam kejadian pada 3.50 petang, Proton Waja dikatakan dalam perjalanan dari arah Benta menghala ke Kuala Lipis, manakala Perodua Myvi dari arah bertentangan.

“Bagaimanapun, sebaik tiba di tempat kejadian, pemandu Perodua Myvi dipercayai tidak lepas memotong kenderaan lain menyebabkannya bertembung dengan Proton Waja yang ketika itu dinaiki oleh lapan orang termasuk pemandu.

“Akibat kemalangan berkenaan, Khatijah dan Muhamad Samsol Kamal maut di tempat kejadian, manakala Mukhtar dan Ahmad Fakhrul Muslim meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Lipis,” katanya dalam satu kenyataan media.

Azry Akmar berkata, mangsa yang cedera parah pula adalah anak Mukhtar, Zalimawati, 34, dan anaknya, Zulaikha Basyirah Ahmad Ridwan, 10, yang kini masih dirawat di zon merah Hospital Kuala Lipis.

“Empat lagi mangsa termasuk isteri kepada anggota tentera (Muhammad Shamsol Kamal) cedera ringan dan turut dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk rawatan lanjut,” katanya.

Katanya, siasatan mendapati kejadian berlaku di jalan yang berselekoh, manakala sewaktu kejadian hujan renyai-renyai serta jalan basah.

“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kuala Lipis untuk proses bedah siasat.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Kita minta saksi bebas untuk tampil membantu siasatan kejadian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Disember 2018 @ 9:20 PM