Yusmizal Dolah Aling
yusmizal@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Saya akui pernah tergelincir beberapa kali selepas mengikuti pemulihan, tetapi dorongan daripada masyarakat, keluarga serta peminat membawa saya kembali kepada landasan sebenar.

“Cabarannya begitu hebat, bukan senang untuk berubah apatah lagi ketagihan itu bukan bermula setahun dua, macam saya sejak berusia belasan tahun, tentunya susah. Tetapi Alhamdulillah, perlahan-lahan, saya berjaya,” kata vokalis kumpulan OAG, Mohd Radhi Razali.

Pernah berada di puncak populariti, katanya, terjebak dengan penagihan dadah adalah penyesalan terbesar di dalam hidupnya dan sehingga kini dia masih memerlukan bimbingan untuk bebas sepenuhnya daripada najis itu.

Menurutnya, dia tidak menyalahkan sesiapa atas nasib yang menimpanya melainkan diri sendiri yang terlalu terikut-ikut dengan pengaruh muzik daripada Barat satu masa lalu.

“Itu satu cara yang salah. Saya nak sangat jadi seperti Kurt Cobain dari kumpulan Nirvana yang dikenali di seluruh dunia, glamor dan popular.

“Sampai dia terjebak dengan dadah pun saya ikut.

“Saya tak nafikan pengaruh rakan-rakan juga satu daripadanya. Tetapi saya salahkan diri sendiri. Bila dalam proses pemulihan, ketika itu kena hati-hati dengan rakan-rakan sebab ada yang akan mempengaruhi kita,” katanya.


RADHI OAG. FOTO Nik Hariff Hassan

Dia yang pernah mengikuti pemulihan di Rumah Pengasih tujuh tahun lalu berkata, ketika ini dia masih mendapatkan bimbingan daripada kaunselor di situ kerana bimbang akan terjerumus lagi ke kancah dadah.

Katanya, dia masih ingat bagaimana dadah mengubah hidupnya hingga mengalami masalah rumah tangga serta karier sebagai pemuzik musnah hingga dipandang serong masyarakat.

“Pernah satu ketika saya pergi menonton wayang, ada orang di sebelah berbisik, Radhi tu penagih dadah, saya dengar dia cakap, tapi saya pekakkan telinga kerana tahu itu adalah kesannya yang perlu saya tanggung,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Disember 2018 @ 8:02 AM