NORA Danish. FOTO Nurul Shafina Jemenon
Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my


PENGALAMAN belasan tahun dalam bidang hiburan banyak mengajar Nora Danish menjadi tenang dan kuat untuk terus melalui liku kehidupan sebagai selebriti.

Sudah lali dengan apa saja kritikan, tohmahan dan kecaman, ibu kepada dua anak ini memaklumkan dia kini berada di tahap tidak terasa hati langsung.

Masih memiliki minat mendalam untuk meneruskan karier seninya, Nora bagaimanapun mengakui buat masa ini perlu memperlahannya kerana tumpuan kepada anak yang masih kecil.

Ditemui selepas melancarkan produk kosmetik OhMostWanted diasaskannya kelmarin, Nora berkata, sekarang dia agak memilih dengan watak yang ditawarkan kepadanya.

"Ketika bersama syarikat pengurusan bakat dahulu, saya ikut saja segala perancangan ditetapkan dan berlakon semua karya diberi kerana mahu mencuba.

"Sekarang memandangkan kehidupan sudah berubah dan ada keluarga baru, saya memilih watak lebih sesuai seperti dibintangi dalam telefilem Hingga Jumpa Lagi dengan yang terbaru drama Sepenggal Puisi arahan Viva Westi dari Indonesia," katanya.

Menurut Nora, minatnya terhadap bidang lakonan tetap mendalam, namun bukan lagi keutamaan. Tidak ada apa yang hendak dikejarkan termasuk populariti.

Memiliki pengikut 5.6 juta orang di Instagram, wanita berusia 36 tahun ini mengakui dia sama sekali tidak menduga dirinya begitu menjadi perhatian ramai.

“Saya sangat berterima kasih kepada mereka yang terus menyokong dan menjadi pengikut di Instagram. Saya tidak sangka berjaya mengumpul pengikut seramai itu.

“Apa yang saya kongsikan di Instagram seperti aktiviti dan foto sama ada secara solo atau bersama keluarga, itulah realitinya. Saya berkongsi apa yang dirasakan perlu.

“Saya juga menggunakan kemudahan media sosial itu secara berhemah. Saya memuat naik foto dan aktiviti yang ingin dikongsikan. Bukan menunjuk-nunjuk gembira dan bahagia,” katanya.

Seiring dengan kematangan usia, Nora seboleh-bolehnya enggan lagi terkait dengan cerita sensasi.

Katanya, status isteri dan ibu digalas itu sedaya upaya dijaganya dengan baik.

Selesa bersikap positif, Nora berkata, sekarang memang dia sudah tidak ambil peduli terhadap kecaman netizen dan biarkan saja asalkan mereka puas.

“Saya mahu menjalani kehidupan yang dimiliki dengan tenang. Saya gembira dan bersyukur Allah memberi saya peluang mengecap kebahagiaan hidup berkeluarga,” katanya.

Nora mendirikan rumah tangga kali kedua dengan Nedim Nazri pada 30 Mac tahun lalu dan kini mereka dikurniakan anak lelaki, Mohamed Neqayl Nedim atau Ney Ney yang berusia sembilan bulan.

Hasil perkahwinan lalunya, pelakon mencipta nama menerusi sitkom Puteri ini memiliki seorang lagi anak lelaki, Putra Rayqal Rizal Ashram, 9.

Perancangan 2019

Semakin aktif dalam perniagaan yang dibina sejak beberapa tahun lalu, Nora yakin populariti dimiliki seseorang selebriti tidak akan kekal bertahan tanpa muncul dengan produk sendiri.

Bersandarkan minat yang sukakan kecantikan, Nora tampil mencabar dirinya untuk mengasaskan produk kosmetik OhMostWanted yang turut menjadi produk kegunaannya sendiri.

“Bagaimanapun, saya percaya kejayaan dalam perniagaan sekarang adalah berkat usaha dan rezeki keluarga. Malah, ia adalah perniagaan sangat saya minati.

“Memandangkan 2019 bakal menjengah tiba, tak dinafikan fokus dan perancangan saya kini memang ditumpukan untuk perniagaan ke arah lebih memantapkannya. Banyak perancangan sudah difikirkan dan akan diatur pada 2019 ini supaya perniagaan ini kekal bertahan dan terus mendapat tempat dalam pasaran,” katanya.

Bagi karier lakonan pula, Nora mengakui hingga kini dia belum berpeluang mendapatkan watak mencabar seperti diimpikannya.

“Saya berharap tahun depan akan diberi kepercayaan untuk membintangi karya bagus sekali gus dapat melakonkan watak lebih mencabar seperti psiko atau pembunuh upahan,” katanya.

Menurut Nora, tidak semestinya perwatakan diri yang lembut dan sopan dilihat kurang sesuai untuk watak mencabar sebegitu kerana selagi belum mencuba, dia tidak akan tahu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Disember 2018 @ 9:48 AM