PEMAIN Vietnam (jersi merah) meraikan kemenangan apabila menewaskan Filipina dengan agregat 4-2 di Hanoi, malam ini. Foto AFP
Firdaus Hashim
firdaushashim@nstp.com.my


BEKAS juara 2008, Vietnam menempah pertemuan dengan Malaysia di perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2018 apabila menewaskan Filipina menerusi agregat 4-2 di separuh akhir kedua, malam ini.

Pertembungan final itu pasti menarik terutamanya selepas skuad Harimau Malaya berjaya mengenepikan tentangan juara bertahan, Thailand di Bangkok, semalam.

Perlawanan akhir itu juga pastinya ditunggu-tunggu oleh pemain negara untuk membalas 'dendam' selepas tewas 0-2 kepada Vietnam di peringkat Kumpulan A sebelum ini.

Pada aksi di Hanoi itu, Filipina yang terdesak untuk memburu dua gol selepas tumbang 2-1 pada separuh akhir pertama jelas menguasai babak pertama, namun dikecewakan dengan aksi mantap pertahanan tuan rumah yang berjaya mematahkan segenap percubaan Filipina.

Bagaimanapun, Vietnam terlebih dulu memecah kebuntuan menerusi penyerang licik mereka, Nguyen Quang pada minit ke-83 sebelum Nguyen Phuong menambah gol kedua tiga minit kemudian.

Pelawat cuba bangkit hasil tandukan James Younghusband, namun ia masih tidak cukup untuk menghalang Vietnam ke final.

Final pertama akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa ini, manakala aksi timbal balik di Hanoi pada Sabtu depan.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Disember 2018 @ 10:41 PM