RITA bersama Airit Qaqa Arjuna (kiri) dan Airit Rayyan Rizqin (kanan). FOTO Arkib NSTP
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my


HASRAT pelakon Rita Rudaini untuk membawa kedua-dua anaknya, untuk menonton perlawanan bola sepak membabitkan bapa mereka yang juga pemain bola sepak skuad kebangsaan, Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak bakal tercapai.

Rita ketika dihubungi berkata, dia sangat teruja dan tidak menyangka apabila ada pihak sudi merealisasikan impian Airit Rayyan Rizqin, 9, dan Airit Qaqa Arjuna, 7, untuk menyaksikan perlawanan akhir Piala AFF 2018, nanti.

“Saya terima pelawaan ini sebagai satu rezeki dan peluang yang baik untuk kedua-dua anak saya.

“Pasti mereka teruja untuk melihat bapanya beraksi secara langsung seandainya Aidil turun padang bermain.

“Bukan saya tidak mampu nak beli tiket sendiri, tapi apabila ada pihak sudi nak bawa anak-anak, saya tidak menolak niat murni ini.

“Tiada apa yang mampu saya katakan selain ucapan terima kasih kepada pihak yang sudi membawa kami,” katanya.

Menurut Rita, dia tidak kisah sekiranya Aidil yang juga bekas suaminya itu, tahu atau tidak mereka akan ke stadium, asalkan anak-anaknya teruja menonton perlawanan akhir yang bakal berlangsung nanti.

"Insya-Allah jika tiada aral melintang saya akan bawa anak-anak ke stadium untuk menyokong skuad Harimau Malaya dan menonton ayahnya beraksi di perlawanan akhir Piala AFF 2018.

“Bagi saya, Aidil tahu atau tidak kehadiran anak-anak itu tidak penting kerana saya nak anak-anak seronok menonton perlawanan final itu," katanya.

Rita berkahwin dengan Aidil Zafuan pada 2008 sebelum berpisah pada 5 September 2013.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Disember 2018 @ 5:05 PM