AWIE
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


“SAYA sebenarnya keberatan nak berkongsi pengalaman mengerjakan umrah baru-baru ini kerana takut nanti dikata riak," ujar Datuk Awie apabila diminta mengulas perjalanan umrahnya, baru-baru ini.

Penyanyi kumpulan Wings dan pelakon hebat ini bagaimanapun mengalah apabila dipujuk media yang menjelaskan kepadanya tiada salahnya berkongsi benda yang baik.

“Maklumlah... saya dicop jahat dan apabila bercerita hal baik, nanti orang gelak dan datangkan dosa kepada mereka.

“Apapun saya mengakui berada di Makkah satu pengalaman indah. Bersyukur akhirnya saya dapat merasa apa yang orang lain pernah rasa.

“Walaupun ini bukan haji, tapi apabila sampai di sana saya terus niat dan berdoa untuk dapatkan haji selepas ini," katanya yang ditemui pada sidang media telefilem Berani Jadi Papa di TGV Cinemas, kompleks One Utama Shopping Centre, di Petaling Jaya, semalam.

Pemergian Awie pada 18 sehingga 29 November lalu turut disertai oleh rakannya daripada kumpulan motosikal berkuasa tinggi kendaliannya, Wings Motor Gang Society (WMGS).

“Ia dirancang selepas kami selesai menjayakan misi jelajah 30 masjid di mana setiap satu waktu, satu masjid.

“Ia bermula daripada situ dan kemudian dilanjutkan ke umrah. Semuanya tercapai dan Allah permudahkan perkara ini. Saya pun sebenarnya tak nak bising-bising.

“Niat saya pergi untuk buat apa yang patut. Selama ini imej saya dipandang tak baik. Saya tak nak ada kata-kata dari orang luar dan pergi diam-diam,” katanya.

Menurutnya, dia berasa tenang sepanjang di sana dan paling syahdu apabila menjejak kaki ke Madinah.

“Ia satu perasaan yang tak dapat digambarkan. Syahdunya apabila kita pergi ke tempat kekasih Allah iaitu Rasulullah SAW.

“Dapatlah saya timba ilmu. Tak tahu bagaimana nak gambarkan kesyahduan dan kegembiraan itu apabila kita berdoa, buat solat hajat dan sebagainya.

“Apabila duduk di tempat-tempat tertentu seperti Raudah, Alhamdulillah Allah permudahkan. Mungkin itu untuk memberitahu atau berpesan kepada saya, kau dah minta aku bagi, aku minta kau kena buatlah. Lebih kurang begitulah maksudnya," katanya.

Awie turut mengakui tidak menyangka dapat meraikan sambutan Maulidur Rasul serta ulang tahun kelahirannya yang ke-50 pada 24 November lalu di hadapan Kaabah.

“Saya bertahalul (bercukur) dan ia betul-betul hadiah besar buat saya. Sudah tentu perasaan saya tersentuh.

“Lagipun semuanya tak dijangka. Saya tak rancang pun sambut ulang tahun kelahiran di Makkah.

“Saya bukan bersedia pergi pada usia ini. Sebenarnya ada yang umur 70 pun belum sampai kerana tiada panggilan (seru).

“Perkara ini bukan paksaan. Kalau sekadar pergi tanpa ada perasaan mendalam dari sudut hati, dah lama saya pergi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Disember 2018 @ 12:09 PM