UZAIR yang melecur hampir keseluruhan tubuhnya ditenangkan Aimi selepas kejadian letupan di CityOne MegaMall, semalam.
Mohd Roji Kawi
mdroji@nstp.com.my


KUCHING: “Sejak pagi, saya memang berasa tak sedap hati, asyik bimbangkan suami walaupun tempat kerja kami berdekatan,” kata Aimi Mohamad, 19, isteri kepada seorang daripada mangsa letupan di CityOne MegaMall di sini, kelmarin.

Menurutnya, kebimbangannya semakin memuncak menjelang petang menyebabkan dia nekad menemui suaminya yang bekerja di restoran makanan Korea di pusat beli-belah berkenaan.

“Jarak kedai tempat saya bekerja dekat saja dengan restoran suami bekerja dan saya meminta kebenaran majikan untuk menemuinya sekejap.

“Elok saja saya menghampiri restoran itu, tiba-tiba letupan berlaku dan saya turut terkena kayu yang terpelanting dari dalam restoran berkenaan menyebabkan saya rebah,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui di ruang legar Unit Rawatan Kebakaran Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini, semalam.

Aimi berkata, ada orang menarik kakinya selepas dia rebah agar menjauhi kawasan itu kerana bimbang siling runtuh.

Menurutnya, ketika itu dia hanya mampu menjerit memanggil suaminya, Uzair Uqbah Abu Bakar, 19, dan menangis memikirkan apa nasib suaminya itu.


ANGGOTA bomba menggunakan anjing pengesan untuk menyiasat punca letupan.

“Nasib baik tidak lama kemudian, orang ramai membawa suami saya keluar dan saya tergamam seketika selepas melihat keadaannya yang melecur dengan baju terbakar.

“Saya terus menghampirinya dan bersyukur dia terselamat walaupun hampir seluruh badannya melecur,” katanya.

Aimi berkata, suaminya baru dua hari bekerja di restoran berkenaan dan mereka sedang bertungkus-lumus menyiapkan restoran itu yang dijadualkan dibuka secara rasmi, semalam.

“Suami saya kini semakin stabil dan dia ada memberitahu, dia berada paling hampir dengan tong gas yang meletup ketika kejadian itu.

“Selepas menghantarnya ke hospital, petang semalam (kelmarin), saya balik ke rumah dan anak perempuan sulung kami yang berusia dua tahun asyik mencari bapanya,” katanya yang mempunyai seorang lagi anak berusia tiga bulan.

Kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu mengorbankan dua pekerja restoran berkenaan dan seorang pekerja kontraktor pengubahsuaian.

Selain itu, kejadian berkenaan turut menyebabkan 41 mangsa cedera termasuk seorang warga Indonesia.

Daripada jumlah itu, seramai 30 mangsa menerima rawatan di HUS, sembilan di Borneo Medical Centre dan dua lagi di Timberland Medical Centre.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Disember 2018 @ 10:07 AM